LONDON 1 Dis. – Perubahan yang berlaku dalam pengurusan tertinggi bola sepak di England, telah menyebabkan Manchester United tidak lagi mampu untuk kekal dominan dalam pasaran perpindahan, kata pengurus Jose Mourinho.
Pada era 1990-an sehingga awal abad ke-21, Red Devils tidak berdepan kerumitan untuk membawa masuk nama-nama besar menyertai kelab itu.
Selepas pemergian Alex Ferguson, United telah memecah rekod dunia apabila membawa kembali Paul Pogba dari Juventus pada 2016, dan kelab itu turut berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat Romelu Lukaku, Nemanja Matic dan Fred.
Bagaimanapun, Mourinho berasakan kelab itu kini tidak lagi mampu membawa masuk bakat-bakat besar setelah dominasi mereka dalam Liga Perdana Inggeris berakhir.
“Bergantung kepada keadaan. Manchester United adalah lebih besar daripada Tottenham? Dengan penuh rasa hormat, Tottenham sebuah kelab yang hebat, saya rasa semua orang akan berkata ya.
“Bolehkah kami ke Tottenham dan membeli pemain terbaik mereka? Tidak kerana mereka tidak akan jual dan kelab itu ada kuasa untuk menyatakan tidak. Beberapa tahun lalu, siapa pemain terbaik Tottenham? Michael Carrik. Kemudian, siapa? (Dimitar) Berbatov.
“Bolehkah kita ke sana sekarang ini dan membawa pulang Harry Kane, Dele Alli, (Christian) Eriksen, Son (Heung Min)? Sudah pasti tidak boleh. Jadi, siapa lebih berkuasa sekarang? Mereka atau kami?,” katanya.
Mourinho turut membandingkan dengan kemampuan kewangan dimiliki seteru setempat, Manchester City, yang sanggup berbelanja besar bagi memenuhi keperluan Pep Guardiola yang berjaya membawa skuad bimbingannya menjulang gelaran Liga Perdana, musim lalu. – AGENSI










