UMNO gesa keadilan buat Muhammad Adib - Utusan Malaysia

UMNO gesa keadilan buat Muhammad Adib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – UMNO menggesa kes anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) malam tadi selepas diserang sekumpulan perusuh di sebuah kuil di Selangor pada 27 November lalu disiasat dengan serius, telus dan segera oleh pihak berkuasa.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun mengklasifikasikan kematian Allahyarham sebagai kes bunuh, maka mereka yang terlibat mesti dibawa ke muka pengadilan dan dihukum dengan sewajarnya. 

“Sesungguhnya, pengorbanan anggota keselamatan negara semasa menjalankan tugas kepada negara adalah satu sumbangan besar yang tidak ada nilai dan taranya. 

“Semoga Allahyarham diampunkan segala kekurangannya dan ditempatkan bersama-sama orang beriman yang diredhai Allah S.W.T,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Muhammad Adib cedera parah ketika bertugas memadamkan kebakaran dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam tadi di IJN.

Terdahulu, Mohamad berkata, seluruh negara berasa sedih dan pilu mendengar berita pemergian Mohammad Adib iaitu selepas tiga minggu Allahyarham bertarung dengan kecederaan parah yang dialaminya.

Kata beliau, UMNO mengirimkan belasungkawa kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan berharap mereka diberi kekuatan dan kesabaran dalam berhadapan waktu yang sukar ini.

Tambah beliau, UMNO meminta semua pihak memberi ruang dan masa kepada ahli keluarga Allahyarham serta tidak menyinggung atau mengganggu mereka.

“Terima kasih kepada pasukan perubatan dan seluruh kakitangan IJN serta semua pihak yang telah berikhtiar dan membantu (Muhammad Adib) selama ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×