KUALA LUMPUR 19 Dis. – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi jaminan bahawa partinya tidak akan diambil alih oleh mereka yang melompat daripada UMNO.
Katanya, beliau prihatin dengan perkara tersebut, sekali gus dilihat cuba menepis kononnya bekas ahli-ahli UMNO akan menjadi ‘kingmaker’ menentukan siapa menjadi Perdana Menteri.
“Kami juga prihatin (dengan tindakan mereka meninggalkan UMNO). Kami tidak mahu memberi gambaran bahawa UMNO mengambil alih Bersatu.
“Kami sangat serius tentang menapis orang-orang ini,” katanya menurut laporan Malaysiakini semasa mengadakan temu bual dengan organisasi media terpilih di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Dr. Mahathir berkata, pemimpin Bersatu tidak akan mudah dipengaruhi oleh mereka yang melompat daripada UMNO dan partinya hanya akan menerima “pengikut”.
“Para pengikut, sesetengah daripada mereka ikut kerana mereka tidak terlibat dalam merangka dasar UMNO, atau bahkan memimpin parti.
“Mereka adalah ahli biasa, mereka dipilih untuk menjadi calon dan mereka menang,” katanya.
Dalam laporan berasingan, Dr. Mahathir berkata, Bersatu tidak mampu untuk mengabaikan semua mereka yang meninggalkan UMNO, kerana pemimpin-pemimpin itu mempunyai sokongan orang Melayu yang besar di kawasan luar bandar yang ditagihkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Beliau juga tidak bimbang dengan tindakan pemimpin UMNO cuba berjumpa dengannya dan bakal penggantinya, iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa sama, Perdana Menteri juga berkata beliau tidak gemar mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen kerana mahukan pembangkang yang kuat.
“Ketika saya mengetuai Barisan Nasional (BN), saya pernah mengatakan bahawa kita memerlukan pembangkang.
“Tanpa pembangkang, ia seperti tidak mempunyai cermin untuk melihat diri sendiri. Anda fikir anda cantik tetapi sebenarnya anda sangat hodoh,” kata Dr. Mahathir. -UTUSAN ONLINE










