PULAU PINANG 19 Dis. – Pergerakan Pemuda UMNO negeri berharap Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Hasan dapat menetapkan hala tuju dengan segera selepas diberi mandat menjalankan tugas-tugas presiden.
Ketuanya, Rosesarwandi Saad @ Yaacob berkata, hala tuju jelas itu penting sebagai sandaran dan fokus kepada semua peringkat ahli UMNO di negeri ini.
Dalam masa sama, beliau berharap semua peringkat pimpinan UMNO negeri memberi kerjasama utuh kepada Mohamad dalam memastikan UMNO dapat pulih dan bangkit kembali demi meletakkan kepentingan rakyat dalam pembangunan agama, bangsa dan tanah air.
“Senario yang berlaku ketika ini wajar dijadikan pengajaran buat semua ahli UMNO yang mana pengorbanan itu penting demi kelangsungan parti ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Rosesarwandi berkata, Pemuda UMNO negeri juga berterima kasih kepada Presiden mereka, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengambil langkah luar biasa mengundurkan diri dan berehat daripada jawatannya.
Tambah beliau, keputusan itu merupakan tindakan berjiwa besar yang pasti akan diingati seluruh rakyat terutama ahli UMNO dalam pembentukan polemik politik negara. – UTUSAN ONLINE










