CYBERJAYA 17 Dis.- Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin Nurul Izzah Anwar mempunyai sebab tersendiri di atas keputusan melepaskan semua jawatannya hari ini.
Dr. Mahathir merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu apa yang berlaku kepada PKR ketika ini.
“Beliau mesti ada sebab, saya tidak tahu apa yang berlaku kepada PKR,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi dialog bersama 50 pemain industri di Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) di sini hari ini.
Nurul Izzah hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR serta mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.
Nurul Izzah dalam kenyataannya berkata, keputusan itu sudah pun dimaklumkan kepada kepemimpinan tertinggi PKR dan beliau hanya mahu berkhidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa terikat dengan jawatan di dalam parti.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditemui pada majlis yang sama berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Nurul Izzah bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tindakannya itu.
Mohamed Azmin berkata, beliau baharu sahaja menerima berita tersebut.
“Saya baharu mendapat berita ini dan akan berjumpa dengannya untuk bertanyakan apa yang berlaku. Itu sahaja komen saya, ” katanya. – UTUSAN ONLINE
HABIS










