PUTRAJAYA 8 Dis. – Kerajaan akan mengambil beberapa langkah untuk mengatasi cabaran ekonomi yang sedang dihadapi negara dalam tempoh masa tiga tahun bagi mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keyakinan agensi penarafan antarabangsa, Moody’s Investor Service (Moody’s) terhadap potensi pertumbuhan Malaysia yang teguh, pasaran-pasaran modal domestik yang baik serta kerangka institusi yang kukuh termasuk keberkesanan polisi kewangan tinggi, memberi kesan kredit positif yang padu.
“Kementerian Kewangan mengalu-alukan pengekalan pengadaran oleh Moody’s semalam untuk hutang terbitan mata wang tempatan dan asing serta hutang tidak bercagar kanan Malaysia pada

tahap A3 dan jangkaan kekal stabil.
“Pengekalan pengadaran yang tidak berubah ini dicapai meskipun mereka telah mengambil kira kekuatan fiskal Malaysia telah menurun dengan defisit fiskal sebanyak 3.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada 2018, 3.4 peratus pada 2019, tiga peratus (2020) dan kurang dari 2.8 peratus (2021) akibat skandal-skandal korupsi berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Malah jelas Guan Eng, menurut Moody’s, dalam jangka masa panjang, prospek ekonomi Malaysia dibantu oleh infrastruktur yang telah dibangunkan dengan baik, kekayaan sumber alam, dan sektor-sektor perkhidmatan dan pembuatan yang berdaya saing secara global.
Katanya, perkara ini dibuktikan dengan peningkatan mendadak dalam eksport bagi Oktober lalu kepada paras tertinggi RM96.4 bilion dan lebihan dengan sebanyak RM16.3 bilion.
Perkembangan positif ini berlaku selepas pengumuman Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menyatakan bahawa Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang diluluskan dalam sektor pembuatan telah meningkat sebanyak RM35 bilion atau 250 peratus kepada RM49 bilion dalam sembilan bulan pertama 2018, dari RM14.0 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.
“Apa yang lebih mengagumkan adalah bahawa bagi bulan Mei hingga September lalu, jumlah FDI keseluruhan yang diluluskan dalam sektor pembuatan ialah RM35 bilion berbanding RM7.3 bilion pada Mei hingga September 2017.
“Peningkatan RM27.7 bilion atau 379 peratus seperti yang ditunjukkan membuktikan bahawa keyakinan pelabur asing telah melonjak,” katanya.










