Tiga iktibar - Utusan Malaysia

Tiga iktibar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRAGEDI yang menimpa Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kasim memberi iktibar yang berat dan besar kepada semua pihak untuk di insafi dan disusuli dengan tindakan proaktif. Pertamanya ia menjurus kepada para pemimpin khususnya menteri dan wakil rakyat untuk bertindak dengan bijak dan rasional bukannya mencetuskan lagi ke­tegangan dan kemarahan.

Tindak tanduk yang dilihat berat sebelah dan keceluparan mulut ketika memberi kenyataan oleh beberapa pemimpin termasuk menteri Kabinet ketika rusuhan masih berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Selangor amat mendukacitakan. Ia ibarat mencurah minyak pada rumah yang sedang marak terbakar!

Pihak berkuasa khususnya polis telah mengambil tindakan segera pada hari pertama kekecohan berlaku di lokasi untuk mengawal keadaan secara fizikal. Pemimpin pula sepatutnya ‘mengawal’ emosi para perusuh untuk segera tenang dan meletakkan kembali kepercayaan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu kuil ini.

Tetapi apabila pemimpin bertindak sebaliknya, amarah perusuh makin menggila hingga mencetuskan kerosakan dan kemusnahan harta benda, malah lebih malang anggota bomba tidak berdosa dibelasah mereka tanpa rasa bersalah. Dari isu yang hanya melibatkan pemaju dan pengurusan kuil, ia mencetus kepada sensitiviti perkauman dan agama pula.

Iktibar kedua adalah kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pengurusan rumah ibadat. PBT perlu membuat semakan atau bancian mengenai status ‘halal’ dan ‘haram’ rumah-rumah ibadat yang berada dalam kawasan mereka.

Penulis memuji langkah segera kerajaan seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 28 November lalu iaitu menjadikan syarat bahawa rumah ibadat seperti masjid, kuil atau gereja tidak boleh dibina tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan. Pembinaan kuil ‘ikut suka’ ini bukan sesuatu yang harus dinafikan atau disembunyi realitinya kerana Perdana Menteri sendiri mengakui masalah kuil haram ini.

“Masalahnya sekarang ialah kuil dibina tanpa mengambil kira siapa yang memiliki tanah itu dan kemudian apabila pemiliknya mahu balik tanah tersebut, ia akan menimbulkan masalah. Kuil dibina di mana-mana sahaja walaupun di tanah milik orang lain. Itulah masalah yang kita lihat hari ini,” ulas Perdana Menteri.

Justeru dengan pemantauan awal melalui kelulusan PBT, ia akan menghalang pembinaan rumah ibadat haram dan pembinaan rumah ibadat tidak terkawal melebihi keperluan penduduk setempat. PBT perlu bertegas dalam hal ini dan pihak pengurusan agama juga perlu mengambil tanggungjawab bersama untuk mengelakkan masalah di masa hadapan.

Iktibar terakhir ialah buat rakyat Malaysia untuk peka dan memahami peranan dan tugas setiap anggota beruniform seperti polis, bomba, tentera dan lain-lain lagi. Keberadaan mereka di lokasi sesuatu kejadian bukannya untuk menimbulkan masalah tetapi untuk mengawal, meredakan dan menyelesaikan dalam kemampuan dan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasa.

Sekiranya kita tidak dapat menghormati dan menghargai keberadaan mereka yang meletakkan kepentingan insan lain melebihi diri dan nyawa mereka sendiri atas nama tugas dan lencana yang tersemat di dada, kita merupakan rakyat yang malang dan pentingkan diri!

Semoga roh Allahyarham Adib ditempatkan dalam kala­ngan orang yang beriman. Al-Fatihah

PENULIS ialah Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas Universiti Sains Islam Malaysia (Pragmatis).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN