Tiga agensi Kelantan tidak capai tahap pengurusan cekap - Utusan Malaysia

Tiga agensi Kelantan tidak capai tahap pengurusan cekap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 3 Dis. – Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 hari ini mendedahkan tiga agensi kerajaan negeri Kelantan yang secara keseluruhannya didapati masih tidak mencapai tahap pengurusan yang cekap.


Tiga agensi itu adalah Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDK) dan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, ICT Icubator Sdn Bhd (IICSB).


Laporan yang dibentangkan di Parlimen itu antara lain mendapati wujud beberapa kelemahan dalam pelaksanaan aktiviti dari segi perancangan, pelaksanaan dan pemantauan.


Antara faktor utama yang menyebabkan wujudnya kelemahan itu adalah tiada mekanisme pemantauan yang berkesan dalam memastikan undang-undang dan peraturan dikuatkuasakan serta tiada penyeliaan berkesan terhadap kerja-kerja yang dilakukan kakitangan bawahan.

Dalam laporan sama Ketua Audit Negara meminta kerajaan negeri memberi perhatian serius berhubung kelemahan itu dan segera bertindak selepas mendapat teguran daripada pihak audit kerana kelemahan itu boleh menjejaskan pencapaian objektif program serta menjejaskan imej kerajaan negeri dan perkhidmatan awam.

MPKB-BRI ditegur selepas Projek Usaha sama Bandar Satelit Pasir Tumboh (BSIPT) tidak mencapai objektif yang ditetapkan apabila beberapa komponen projek masih belum disiapkan walaupun melebihi tempoh kontrak selama enam tahun.


Pengurusan projek BSIPT dirumuskan kurang cekap berikutan beberapa kelemahan dalam pengurusan kontrak seperti terma perjanjian projek tidak selaras dengan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), denda kelewatan projek tidak dikenakan, bangunan diduduki tanpa Certificate Compliance and Completion (CCC) selain pembinaan tangki air di atas tanah Perbadanan Menteri Besar Kelantan tanpa kebenaran.


Laporan itu juga merumuskan pencapaian pungutan sisa pepejal MDK tidak mencapai tahap optimum kerana sampah tidak dikutip mengikut jadual berikutan masalah lori sampah tidak mencukupi dan kerap rosak.


Sampah juga tidak dikutip mengikut jadual antara sehari hingga 13 hari di laluan utama dan taman perumahan sekitar Kok Lanas, selain 152 daripada 657 unit tong sampah rosak tidak diganti, 40 daripada 69 taman perumahan tidak disediakan tong sampah dan 77 unit tong sampah rosak masih digunakan.

Laporan audit itu juga mendapati 19 daripada keseluruhan 83 penempatan tong sampah mengalami limpahan sampah dengan trend limpahan sebanyak tiga kali di tiga daripada 22 taman perumahan yang dilawati.

Dalam pada itu teguran turut dibuat ke atas IICSB berikutan secara keseluruhannya tadbir urus IICSB, yang kurang memuaskan.

Program inkubator tidak diteruskan mulai 2015 menyebabkan objektif penubuhan IICSB untuk mewujudkan sebuah pusat inkubator tidak berjaya.

Laporan turut menyatakan pasaran dan pendapatan bagi aktiviti pembekalan perkakasan syarikat itu juga terhad dengan hasil penjualan produk atas talian melalui e-Dagang hanya lima peratus daripada pendapatan yang diterima.


Sehubungan itu pihak pengauditan mengesyorkan IICSB mengenalpasti perniagaan teras selepas program inkubator tidak diteruskan dan kewajaran operasi syarikat perlu dinilai semula bagi memastikan kelangsungan jangka hayat syarikat.


Agensi kerajaan yang terlibat disaran memantau aktiviti syarikat masing-maisng untuk mewujudkan tadbir urus korporat yang baik, mematuhi undang-undang dan peraturan kerajaan, berdaya saing dan memastikan objektif penubuhan syarikat tercapai sepenuhnya.- BERNAMA

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN