KUALA LUMPUR 5 Dis. -Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak berhasrat untuk menambah Pusat Internet 1Malaysia bagi tujuan permainan sukan elektronik, e-Sports.
Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, hal itu bagaimanapun masih dalam peringkat kajian pihaknya.
Beliau memberitahu, tumpuan utama kementerian pada waktu ini adalah menyediakan kemudahan infrastruktur dan akses internet untuk seluruh rakyat.
“Sehingga hari ini, kita masih belum berhasrat untuk menambah pusat internet bagi tujuan e-Sports. Apatah lagi e-Sports bukan menjadi sasaran utama kementerian.
“Penyediaan Pusat Internet 1Malaysia untuk sukan e-Sports tidak termasuk dalam Pelan Fiber Seluruh Negara 2017 hingga 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu sesi pertanyaan-pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan soalan tambahan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai hasrat kerajaan untuk menambah bilangan pusat internet untuk sukan e-Sports yang semakin popular dalam kalangan orang muda. -UTUSAN ONLINE










