Tentukan hari esok untuk Felda - Utusan Malaysia

Tentukan hari esok untuk Felda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“JANGAN biarkan Felda terkubur. Jangan biarkan petualang yang memusnahkan masa depan Felda menang,” itu tegas Datuk Karim kepada saya pada pagi Sabtu lalu.

Berusia hampir 70 tahun, seorang usahawan terkemuka di Kedah sewaktu mudanya, beliau kini menetap di Pulau Pinang.

Sahabat saya ini bertandang ke Alor Setar baru-baru ini setelah mengetahui saya baru pulang dari Sarawak, menginap beberapa malam di sebuah hotel di Kuching milik Felda yang kini menjadi buah mulut dalam kalangan warganegara.

“Turning around Felda must be expedited” (pemulihan Felda mesti dipercepatkan), katanya lagi kepada saya.

Kebetulan pada hari sebelumnya (Jumaat 14 Disember), bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dihadapkan satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah bernilai lebih RM3 juta berhubung transaksi pembelian Merdeka Palace & Suites Hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda pada 29 April 2014 lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Isa (sebagai Pengarah Syarikat FIC) didakwa melakukan pecah amanah ke atas dana syarikat itu dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Anggota Lembaga Pengarah Felda.

Pertuduhan pertama ini dibuat di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebat dan denda.

Bagi pertuduhan kedua hingga kesepuluh, Isa didakwa secara rasuah menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai berjumlah RM3,090,000.00 daripada Ikhwan Zaidel (ahli lembaga pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd).

Perbuatan ini dibuat melalui Muhammad Zahid Md. Arip sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suit di Kuching Sarawak oleh pihak FIC yang bernilai RM160 juta.

Kesemua sembilan pertuduhan ini dibuat di bawah seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Isa mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan minta dibicarakan. Saya ingatkan sahabat saya itu bahawa Isa baru sahaja dihadapkan pertuduhan, belum lagi dibicarakan dan disabitkan.

Tarikh 25 Januari 2019 hanyalah tarikh sebutan semula; perbicaraan belum dapat dimulakan. Di bawah undang-undang, dia berhak dianggap tidak bersalah sehingga kesalahannya dibuktikan di mahkamah.

Apapun, saya setuju dengan desakannya bahawa pemulihan (turning around) Felda perlu disegerakan, dan tidak mengambil masa terlalu lama.

Pada asalnya, Felda (akronim Federal Land Development Authority, atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) adalah satu badan berkanan, ditubuhkan di bawah Akta Pembangunan Tanah, mula dikuatkuasakan pada 1 Julai 1956.

Felda pernah pada satu ketika dulu dijulang sebagai contoh socio-economic engineering yang berjaya di negara kita, mampu meningkatkan tahap kehidupan penerokanya.

Malangnya apabila Felda menjadi satu entiti perniagaan, fokusnya beralih ke bidang perniagaan dan pelaburan di luar negara.

Felda menikmati kejayaan buat seketika waktu di peringkat awal. Kini apa yang Felda hadapi bukan kekayaan dan kegemilangan yang berkekalan (seperti yang diimpikan), bahkan kerugian amat besar serta reputasi tercalar.

Apakah faktor yang menyebabkan kesemua ini kini sedang disiasat oleh pihak-pihak tertentu. Begitulah juga, sebagaimana pada satu ketika dulu Felda Global Ventures (FGV) terkenal sebagai satu syarikat perladangan terkemuka di dunia, dengan keuntungannya mencecah RM892 juta.

Kini situasi sudah jauh berubah apabila beberapa projek komersil yang dimulakan olehnya beroleh kegagalan.

Pada 20 September 2018 lalu, pengerusi baru Felda Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor menyatakan bahawa Felda akan dapat dipulihkan (turn around) dalam masa dua tahun dari sekarang.

Keutamaan akan diberi untuk memperbaiki aliran tunainya serta mengurangkan hutangnya (yang kini mencecah RM8.05 billion). Selain itu, Felda akan menjual asetnya yang ada di London, Kuching dan Kota Kinabalu.

Berikutnya pada 15 Oktober 2018 pula, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata satu Kertas Putih Felda akan dibentangkan di Dewan Rakyat, mengandungi butiran terperinci pelan tindakan memulihkan Felda.

Selain itu, tindakan akan juga diambil untuk memelihara kebajikan peneroka Felda. Terbaru, pada 21 November lalu, menteri itu berkata bahawa berasaskan apa yang beliau baca dalam deraf pertama laporan interim Kertas Putih Felda, terdapat “kecurangan yang serius” membabitkan kewangan agensi itu.

Kertas Putih itu perlu dibentangkan oleh kerajaan disebabkan “kecelaruan pengurusan dan hutang melampau agensi itu yang melebihi RM8 bilion”.

Sementara itu, kerja pengauditan sedang disiapkan supaya kerajaan boleh dapat melihat gambaran sebenar kewangan FELDA dan salah tadbir urus yang berlaku.

Maklumat sebenar mengenai agensi awam ini “penting supaya golongan peneroka dapat memahami situasi sebenar yang menimpa FELDA,” katanya lagi.

Ditanya wartawan tentang aset Felda akan dijual, Azmin berkata hartanah terbabit dibeli pada harga premium yang tinggi dan bukan pada harga pasaran.

Oleh itu, kemungkinan besar kerajaan tidak akan akan dapat pulangan yang sewajarnya apabila aset tersebut dijual. Mengikut kenyataan awal Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Mohd Radzi Md Jidin, Kertas Putih mengenai Felda akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Disember.

Tarikh itu kini telah berlalu, dan hingga tarikh rencana ini disiapkan, kita belum lagi dimaklumkan bila ia akan dibentangkan di Parlimen.

Kesimpulannya, ada tiga tugasan besar di hadapan kita sekarang – pertama, usaha memulihkan (turn around) agensi itu; kedua, usaha mengesan dan mengheret ke pengadilan semua petualang yang menyebabkan Felda hampir musnah.

Dan ketiga, memelihara kebajikan dan kesejahteraan peneroka Felda. Kesemuanya perlu dilakukan secara terancang, serentak dan seimbang, seberapa segera yang boleh.

Kegagalan kini bukan lagi satu pilihan.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN