Biasanya peminat akan menyedari kehadiran seseorang artis itu apabila sudah popular. Pernahkah terfikir siapa sebenarnya orang penting atau ‘tulang belakang’ di sebalik kejayaan artis tersebut?
Penyanyi yang popular dengan lagu Jagakan Dia, Shiha Zikir, 31, mengaku kerjayanya tidak akan berada pada tahap ini tanpa pengorbanan yang dilakukan oleh pengurusnya, Arul.
Bersama Arul, Shiha yang juga seorang pelakon, mengharungi getir yang bukan sedikit. Atas nama kejayaan, kedua-dua mereka menelan segala pahit yang datang sekali gus menepis setiap rintangan.
Ikuti temubual Hits dan Shiha yang bercerita tentang episod kesusahan dalam perjalanan karier seninya selama ini.
HITS: Daripada progam realiti Akademi Fantasia, Mentor dan D’Academy Asia 2, Shiha semakin terkenal. Dalam masa sama perniagaan kanta lekap juga berjaya. Selama 13 tahun dalam industri, siapa tulang belakang Shiha?
SHIHA: Selain ibu dan keluarga, orang yang sangat banyak membantu Shiha hingga ke hari ini ialah pengurus Shiha, Arul. Jatuh bangun, ketawa sedih, dihina, dipuji semuanya saya lalui bersama Arul. Dialah insan yang bertanggungjawab atas pencapaian saya hari ini.
Kalau tak ada pengurus, saya bukan siapa-siapa. Saya tidak tahu mahu bermula dari mana bila bercakap tentang Arul. Terlalu banyak yang dia lakukan sehingga tak terhitung. Antara yang boleh saya kongsi ialah ketika saya terlibat dalam program Mentor 5 pada 2011.

Apa yang berlaku?
Pada awal program tersebut, saya rasa rendah diri sangat kerana tak ada kelab peminat seperti peserta lain. Yang ada cuma saya dan ibu. Namun, saya terkejut apabila semasa persembahan konsert pertama, saya tengok ramai sangat peminat yang memegang sepanduk ‘Shiha’ dan menjerit-jerit nama saya. Semuanya lelaki tegap-tegap.
Rupa-rupanya mereka adalah rakan-rakan gim Arul. Memang cukup terharu masa itu sebab Arul lakukan semuanya untuk melihat saya bersemangat di pentas dan tidak rasa down.
Sejauh mana lagi pengorbanan Arul?
Nak tahu, Arul membelanjakan wang sebanyak RM2,000 setiap kali konsert mingguan sehingga ke peringkat akhir. Perbelanjaan untuk setiap konsert ini bagi makan minum peminat, tiket bas, penginapan dan baju T. Mana lagi saya nak dapat orang macam Arul? Pengorbanan yang dia lakukan, hanya Allah yang mampu membalasnya.
Difahamkan, Arul bukan sahaja pengurus, tetapi juga kekasih dan bakal suami Shiha?
Iya…kami memang ada hubungan istimewa (bercinta). Cuma nak bercerita lebih tentang cinta, lebih baik tunggu dulu. Apa yang saya boleh kongsi ialah tentang kisah diri saya. Dulu boleh dikatakan ramai juga lelaki yang mendekati saya. Namun semuanya tidak boleh terima syarat saya yang mahu bawa emak setiap kali berjumpa.

Lain pula dengan Arul. Dia suka saya bawa emak setiap kali kami keluar. Kadang-kadang dia lebihkan emak saya. Apa yang penting hubungan ini direstui oleh kedua-dua keluarga kami. Alhamdulillah.
Apa istimewanya Arul?
Arul seorang lelaki yang baik, memahami dan menerima saya seadanya. Dia bukan seorang lelaki yang kuat cemburu atau cepat berprasangka buruk. Dia sangat memahami. Itu antara sebab saya memilihnya sebagai pengurus.
HITS dapat tahu tak semua pihak yang berurusan dengan Shiha bersetuju untuk bawa emak dalam mana-mana acara. Bagaimana Shiha berhadapan situasi ini?
Saya akui pada awal kerjaya dulu ada pihak yang merungut dan tidak bersetuju saya bawa emak. Pernah dulu ada pihak yang tawarkan undangan nyanyian dengan bayaran RM20,000 di luar Kuala Lumpur. Disebabkan mereka tidak benarkan bawa emak, saya tolak tawaran tersebut kerana emak lebih penting. Bagi saya, ke mana pun saya pergi, biarlah ada emak bersama. Dialah penguat semangat dan kerana doanya saya berada di sini.
Shiha juga pernah meluahkan rasa sedih apabila dipandang rendah oleh sesetengah selebriti yang kononnya berlagak diva dan bagus. Boleh ceritakan?
Orang selalu tengok saya senyum dan suka gelak besar. Hakikatnya, saya pernah ‘makan hati’ kerana dipandang hina oleh artis yang saya anggap seperti kawan. Dia hina saya di hadapan ramai artis lain dengan mempersoalkan populariti saya yang tidak layak sepentas dengannya.
Ketika itu, bergenang air mata saya. Saya hanya tahan diri daripada menangis kerana ramai orang. Siapa tak sedih diperlekehkan sebegitu. Dalam hati hanya Allah yang tahu betapa malu dan hancurnya hati saya ketika itu.
Emak menenangkan saya dan berpesan supaya tak berdendam dan simpan rasa terkilan itu. Katanya, ingat Allah selalu kerana mengingati Dia kita boleh bahagia.
Doa ibu Shiha
Ibu Shiha, Rohana Rahim, 60, mengaku risau apabila Shiha belum berkahwin dalam usia 31 tahun.
“Ibu mana tidak risau kalau anak gadis mereka belum berkahwin, apatah lagi usia Shiha sudah lebih 30 tahun. Dalam masa sama, sebagai ibu yang memahami cita-cita anak, saya faham situasi Shiha yang mahu mencapai impiannya terlebih dahulu.
“Selain nyanyian dan lakonan, Shiha juga mempunyai perancangan mahu memajukan bisnes kanta lekapnya yang semakin mendapat sambutan.

“Cuma harapan dan pesan saya kepada Arul, andai sampai jodoh mereka nanti, cintai dan sayangilah Shiha sehingga ke akhir hayat, dalam susah atau senang. Janganlah sesekali berubah rasa cinta itu,” katanya yang setia menemani Shiha ke mana-mana sahaja.










