Tahap kesedaran perlindungan takaful penjawat awam rendah - Utusan Malaysia

Tahap kesedaran perlindungan takaful penjawat awam rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Tahap kesedaran penjawat awam di negara ini terhadap kepentingan memiliki perlindungan takaful dan insurans masih rendah biarpun pelbagai program kesedaran dan pendidikan telah dilakukan.

Pengarah Urusan Medicare Assistance Sdn. Bhd. (Medicare), K. Palanisamy berkata, kebanyakan penjawat awam memberikan alasan tidak mampu sedangkan kadar harga premium bagi perlindungan takaful hanya serendah RM6 sebulan.

Beliau berkata, ada dalam kalangan penjawat awam hanya melanggan produk takaful selama setahun sahaja sebelum menghentikan langganan tersebut bagi membolehkan mereka membuat pinjaman peribadi di bank.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai contoh, Medicare dengan kerjasama Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah memperkenalkan produk takaful penghospitalan CUEPACSCare sejak 1999 khas untuk penjawat awam tetapi hanya mempunyai kira-kira 80,000 pemegang polisi saja.

“Setiap bulan pula hampir 100 permohonan diterima bagi membatalkan polisi takaful tersebut. Antara alasan utama adalah mereka mahu membuat pinjaman peribadi dan perlu membatalkan polisi bagi membolehkan pinjaman diluluskan.

“Ramai orang mempunyai perlindungan takaful tetapi mereka harus ingat sekiranya jika tidak konsisten melanggan dan kerap beralih polisi takaful, mereka tidak akan mendapat manfaat perlindungan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Program Keusahawanan myCuepacsCare di sini petang tadi.

Pada program tersebut, lebih 100 orang peserta dari seluruh negara diberikan pendedahan untuk menjana pendapatan tambahan serta mempromosi produk perlindungan takaful penjawat awam iaitu CUEPACSCare dan CUEPACS PA. 

Mengulas lanjut, Palanisamy berkata, penjawat awam perlu mengambil peluang atas usaha CUEPACS yang memperkenalkan program takaful CUEPACSCare dan CUEPACS PA pada harga mampu milik untuk memastikan mereka mempunyai perlindungan diri tambahan untuk waktu kecemasan.

“Menerusi CUEPACSCare penjawat awam ditawarkan takaful penghospitalan dan pembedahan serendah RM32, manakala RM6 bagi takaful kemalangan diri CUEPACS PA yang memberi pampasan sehingga RM220,000,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×