KUALA LUMPUR – Empat ‘Mat Rempit’ ditahan polis menerusi Ops Samseng Jalanan kerana berlumba dan melakukan pelbagai aksi berbahaya di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di sini awal pagi semalam.
Operasi yang bermula pada pukul 2 pagi itu diketuai Asisten Superintenden Ahmad Fuad Mahmod dari Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 17 tahun hingga 23 tahun berkenaan dikesan berlumba sesama sendiri dan dua daripada mereka didapati melakukan aksi ‘Superman’.
“Keempat-empat remaja tersebut terdiri daripada seorang penghantar barang, pekerja kilang, penjaga tapak kontraktor dan pelajar lepasan sekolah.
“Siasatan awal mendapati, dua daripada mereka tidak mempunyai sebarang lesen memandu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Beliau turut memberitahu, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 10 saman terhadap keempat-empat individu berkenaan atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada lesen memandu, mengubahsuai motosikal sehingga tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan dan cukai jalan tamat tempoh.
“Keempat-empat mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara berbahaya ,” ujarnya. – K! ONLINE










