IPOH 20 Dis. – Kerajaan negeri mahu keretakan struktur pada jejantas di hadapan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dibaiki segera demi menjaga keselamatan orang awam selain mengelak daripada kejadian buruk berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, kejadian itu berlaku kira-kira dua minggu lalu apabila lori kontraktor yang membawa jentera, telah terlanggar struktur jejantas tersebut.
Beliau berkata, ekoran pelanggaran itu, struktur jejantas telah teranjak sedikit ke hadapan selain mengakibatkan keretakan pada struktur ‘pier’ dan ‘support’.
“Keadaan struktur masih stabil dan keretakan hanyalah disebabkan impak secara literal dari pelanggaran tersebut.
“Pihak kontraktor ketika ini sedang melaksanakan kajian lanjut berkaitan struktur dan akan mengemukakan laporan lengkap kaedah pembaikan yang akan dilaksana dalam tempoh dua minggu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Abdul Yunus, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga telah mengambil maklum isu tersebut dan penghadang telah dipasang di kawasan berkenaan.
“Kerja-kerja pembaikan akan dilaksana oleh pihak kontraktor selepas mengemukakan laporan itu kepada MBI,” katanya. – UTUSAN ONLINE










