SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengumumkan sumbangan RM2.2 juta kepada Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) untuk pembangunan sukan bola sepak di negeri itu.
Menteri Besar Aminuddin Harun berkata, selain digunakan untuk persiapan pasukan Rusa menghadapi Liga Perdana musim depan, peruntukan itu juga adalah untuk pembangunan sukan itu di peringkat akar umbi.
“Adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk melihat PBNS memajukan lagi sukan bola sepak di negeri ini. Kita mahu melahirkan lebih ramai pemain berbakat di kalangan anak-anak Negeri Sembilan.
“Peruntukan itu adalah bagi memastikan sukan bola sepak di negeri ini terus cemerlang pada masa akan datang. Dengan pengurusan baharu PBNS yang diterajui Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, saya yakin PBNS boleh mencapai hasrat tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama penaja PBNS di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Timbalan Presiden PBNS Dr. Razali Ab. Malik serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri yang juga Naib Presiden PBNS Mohamad Taufek Abd Ghani. – Bernama










