PELABUHAN KLANG 17 Dis. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menumpaskan cubaan menyeludup rokok putih dan minuman keras menggunakan kapal barter trade di perairan Kuala Selangor, Jumaat lalu.
Turut dirampas dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang itu ialah rokok putih dan minuman keras bernilai RM13.4 juta termasuk bot, enjin serta peralatan navigasi dan komunikasi radio.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, pihaknya mengesan kapal barter trade tersebut semasa melakukan rondaan hasil maklumat awam.
Menurutnya, ketika itu terdapat bot pancung sedang merapati kapal barter trade.
Bagaimanapun ujarnya, menyedari kehadiran bot peronda maritim, bot pancung berkenaan meninggalkan kapal barter trade tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal barter trade ini membawa 2,600 kotak yang mana setiap kotak mempunyai 50 karton rokok putih pelbagai jenama dan 60 kotak minuman keras.
“Kita juga menahan 10 individu termasuk tekong warga Indonesia kapal barter trade berusia 22 hingga 53 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Maritim Selangor di sini hari ini.
Tambahnya, kesemua yang ditahan dibawa ke jeti Pulau Indah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barang tanpa kelulusan kastam.-UTUSAN ONLINE










