Siasatan kes Tabung Haji diumum Isnin - Utusan Malaysia

Siasatan kes Tabung Haji diumum Isnin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR 8 Dis. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof akan mengumumkan dapatan siasatan dalaman berkaitan isu penyelewengan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) pada Isnin ini.

Beliau berkata, pengumuman berkenaan yang antaranya berkaitan laporan kewangan Tabung Haji 2017 yang didapati bercanggah se­perti isu keuntung­an, akan dibuat dalam sidang media di Parlimen.

‘‘Ini kita terpaksa dedahkan dan memberikan penjelasan dengan apa dapatan yang kami jumpa dalam Tabung Haji amat menyedihkan kerana ia melibatkan kepentingan Islam,’’ katanya dalam sidang media selepas program Back To School di Mydin Mall di sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 200 murid di Parlimen Parit Buntar menerima bantuan beg sumbangan Mydin dan baucar pembelian pakaian seragam sekolah bernilai RM100 setiap seorang dari Pusat Khidmat Rakyat.

Mujahid berkata, pendedahan itu bukan bertujuan membalas dendam seperti yang didakwa pihak tertentu namun atas rasa tanggungjawab memberi kefahaman kepada ma­syarakat berhubung isu tersebut.

Pada 30 November lalu, Ta­bung Haji membuat dua laporan polis terhadap bekas Pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ke­tua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta barisan pengurusan kanan.

Laporan pertama berhubung program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 apabila dana berjumlah RM22 juta disalurkan untuk aktiviti yang didakwa mempunyai kecen­derungan politik manakala satu lagi laporan dibuat kerana menyem­bunyikan maklumat penting dan salah nyata membabitkan penju­alan saham TH pada 2012. – BERNAMA





Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN