Seni sebarang kemungkinan - Utusan Malaysia

Seni sebarang kemungkinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melihat situasi politik sekarang agak menyedihkan rakyat tidak mendapat sebarang manfaat dari keadaan semasa. Lebih sedih orang Melayu yang paling tidak mendapat apa-apa faedah. Sudahlah janji manifesto di capati yang beroleh rahmat hanyalah orang bukan Islam.

Kita secara keseluruhan hanya mampu menelan air liur melihat bagaimana semak dan berserabutnya politik melibatkan kaum sendiri. Hanya sekitar perebutan kuasa, nak menambah kuasa dan siapa bakal paling berkuasa.

Gejala lompat parti kini menjadi lumrah dan bukan lagi perkara yang dilihat tidak bermaruah. Kalau dahulu kita boleh tanya pada Datuk Ibrahim Ali apa orang tak kata pada beliau. Kredibilitinya rosak kerana gemar menjadi katak. Lompat parti menjadi semacam satu bahan lawak masyarakat yang tidak menjamin apa-apa. Peliknya kini ramai menjadikan Ibrahim sebagai idola.

Waima apapun yang berlaku hakikatnya dalam politik tidak ada salah atau betul. Politik adalah seni kepada sebarang kemungkinan. Politik juga bermakna dahaga untuk kuasa (struggle for power). Mungkin ada yang kata lompat parti sebagai tidak beretika.

Memang benar tapi itu lumrah apatah lagi dalam mendepani politik yang semakin berkembang dan matang. Ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan apabila semakin ramai manusia di dalam sesebuah negara berasa demokrasi adalah wajib dan percambahan idea dan kebebasan bukan lagi noktah.

Apatah lagi Malaysia baharu saja keluar dari kepompong pemerintahan satu parti selama lebih 60 tahun. Kita kena terima hakikat kewujudan satu parti yang dominan serta mengharapkan semua bersatu dalam satu parti untuk wadah perjuangan politik sudah berlalu. Walaupun masih relevan tetapi semakin mustahil.

Sesuai dengan zaman langit terbuka, politik juga perlu melalui peremajaan. Kini semua parti boleh bertanding dan menang jika berasakan idea dan keterbukaan dalam menerima kepelbagaian hak mengakibatkan politik tidak lagi jumud pada isu dan soal tertentu. Tapi tidak bermakna apabila melibatkan soal bangsa dan negara, parti politik tidak boleh bersatu.

Namun apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah walaupun di Malaysia parti baharu tumbuh bagai cendawan dan lompat parti sudah jadi lumrah, orang Melayu perlu jelas dan fokus apa yang mahu dipertahankan.

Kita kena belajar dari AS bagaimana politik tempatan hanya melibatkan Republikan, Demokrat dan beberapa parti kecil lain tidak menggugat fokus dan objektif utama, mahu menjadi negara terhebat.

Donald Trump begitu bersungguh-sungguh mahu menjadikan negaranya kembali hebat, walaupun beliau sendiri tidak ubah seperti badut.

Kita juga tidak boleh menolak bagaimana usaha DAP berjaya sekarang kerana fokus jelas pada objektif dan perjuangan Malaysian Malaysia demi pertahankan bangsa yang dirasakan ideal.

Paling tidak pun kalau dah susah sangat nak faham, Israel adalah antara contoh terbaik bagaimana objektif dan fokus mereka tidak berubah walaupun pemimpin datang dan pergi. Malah keluar masuk penjara kerana pelbagai kesalahan termasuk rasuah, tetapi prinsip dan fokus tetap kekal demi bangsa.

Orang Melayu juga perlu terapkan perjuangan untuk bangsa, negara dan tanah air tidak akan dijual dan digadai hanya untuk nikmat sementara. Sudah sampai masanya orang Melayu fokus dengan objektif bangsanya walau berapa banyak parti yang wujud. Apatah lagi pemimpin datang dan pergi dan tidak ada yang kekal di dunia ini.

Mereka perlu menginjak pemikiran dengan menjadikan diri mereka sebagai Melayu dan agama Islam yang dianuti bukan untuk galang ganti. Walau apa pun berlaku, Islam dan Melayu perlu tetap dipertahan. Kita kena jelas dengan fokus dan objektif ini seperti mana Yahudi mahu menjarah Palestin dan percaya dajal akan datang menjadi pemimpin mereka, tetapi bukan ikut perangai dan sikap buruk mereka.

Kita perlu jelas seperti mana DAP yang akan tetap dengan fahaman Malaysian Malaysia dan berani mencabar kedudukan agama Islam dan orang Melayu demi keperluan kaum mereka.

Jadi adalah baik jika UMNO, Bersatu, Pas mahupun Amanah biarlah jelas dalam perjuangan, fokus dan iltizam. Ini kerana negara ini sahaja saja tempat bagi orang Melayu di dunia ini apatah lagi Islam jelas diletakkan di tempat sepatutnya. Cuma mana yang salah silap tu bolehlah diperbaiki tidak perlulah turut sama ditentang.

Kita sudah melalui proses era politik matang selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu. Namun jika orang Melayu tidak matang dalam tindak tanduk memelihara kepentingan agama dan bangsanya, tidak hairan jika kebanyakan orang Melayu akan merempat di bumi sendiri.

Apatah lagi kini semakin banyak watak si kitol yang hanya mahu membuat keuntungan segera walau jika perlu menjual negara sekalipun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×