Semakin banyak kampung di Rantau Panjang tenggelam - Utusan Malaysia

Semakin banyak kampung di Rantau Panjang tenggelam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG 15 Dis. – Penduduk dari beberapa buah kampung sekitar pinggir Sungai Golok, di sini mula bersiap sedia menghadapi banjir selepas kawasan rumah mereka ditenggelami air sedalam 0.5 meter sejak semalam.

Antara kampung yang sudah ditenggelami air ialah Jeram Perdah, Lancang, Bongo, Kelawar, Jejawi, Teresan dan Putat 7.

Tinjauan Utusan Online di Kampung Jeram Perdah mendapati penduduk sedang sibuk mengemas harta benda selepas air Sungai Golok mula melimpah masuk ke kawasan rumah mereka.

Bagaimanapun, jalan utama ke pekan Rantau Panjang masih boleh dilalui oleh semua kenderaan dan urusan harian masih berjalan seperti biasa.

Seorang penduduk, Ani Awang Kechik, 48, berkata, walaupun sudah lali dengan banjir, keluarganya tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan membuat persiapan lebih awal untuk menghadapi musim banjir.

“Setakat ini, sudah tiga kali air Sungai Golok melimpah masuk ke Kampung Jeram Perdah. Namun kali ini banjir besar sedikit berbanding sebelumnya. Jadi kami mula mengemas harta benda dan tunggu arahan untuk berpindah,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Amran Salleh, 40, berkata, walaupun paras Sungai Golok belum mencecah paras bahaya, persiapan untuk berpindah sudah dibuat lebih awal oleh keluarganya.

“Kami simpan barang di tempat tinggi sebaik sahaja melihat air mula melimpahi tebing. Persiapan awal penting untuk mengelakkan keadaan menjadi kelam kabut jika air naik mendadak,” katanya.

Sementara itu, setakat pukul 4 petang ini, laman sesawang Infobanjir.water.gov.my melaporkan paras air di Sungai Golok sudah melepasi paras amaran iaitu pada 8.77 meter menghampiri paras bahaya 9 meter.

Selain itu, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka secara rasmi setakat ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×