KUALA LUMPUR – Rangka manusia zaman Mesolitik atau zaman batu pertengahan dianggarkan berusia 6,000 sehingga 8,000 tahun, dijumpai di tapak Gua Chawan, Lembah Nenggiri, Kelantan pada 2 Nov lalu.
Rangka manusia dipercayai seorang remaja perempuan itu ditemui penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama pegawai Bahagian Arkeologi, Jabatan Warisan Negara (JWN) dan penyelidik Jabatan Sejarah, Universiti Pendidikan Sultan Idris semasa menjalankan ekskavasi arkeologi di gua berkenaan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, penemuan itu amat penting bagi arkeologi negara dalam memberi fakta baharu tentang amalan pengebumian dan budaya kehidupan zaman prasejarah di Malaysia.
” Rangka ini dipercayai remaja perempuan berdasarkan tulang pelvis yang dijumpai pada rangka tersebut. Ia (rangka) dikebumikan dengan bahagian kaki dilapik dengan batu kapur serta bahagian kepala juga dilapikkan dengan batu kapur.
“Tangan kanan memegang makanan berupa siput serta alat memotong rumput. Terdapat juga batu pengisar-menumbuk yang diletakkan di bahagian kaki sebagai alat iringan si mati,” katanya pada sidang media di sini hari ini. – Bernama










