Ramai lagi tokoh layak ganti Waytha Moorthy - Dr. Afif - Utusan Malaysia

Ramai lagi tokoh layak ganti Waytha Moorthy – Dr. Afif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 20 Dis. – Lebih ramai tokoh dan rakyat Malaysia yang layak menggantikan P. Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri khususnya bagi memegang portfolio Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial.

Itu ketegasan yang disuarakan Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr. Afif Bahardin yang sekali lagi mengulangi gesaan supaya Waytha Moorthy berundur dan meletak jawatan.

Menurut Dr. Afif yang juga Exco kerajaan negeri, keputusan meletak jawatan itu merupakan tindakan mulia yang harus diambil Waytha Moorthy selepas disifatkan gagal memainkan peranan sepatutnya sebagai seorang Menteri dalam isu rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.

Katanya, sebagai seorang Menteri, Waytha Moorthy seharusnya bertanggungjawab mempertahankan keamanan dan ketenteraman, bukannya mengeluarkan kenyataan menyalahkan polis sehingga boleh menyumbang kepada berlakunya perkara tidak diingini.

Malah, tambahnya, Waytha Moorthy juga mempunyai ruang dan peluang yang lebih baik untuk menyelesaikan isu rusuhan kuil tersebut atas kapasiti sebagai seorang Menteri.

“Apabila beliau menyalahkan polis dengan mendakwa polis lambat ambil tindakan, kenyataan itu tidak membantu untuk meredakan ketegangan.

“Sepatutnya beliau sebagai Menteri, kena ambil peranan menyuraikan ketegangan, tetapi beliau tidak buat perkara ini ketika itu,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurut Dr. Afif,  Waytha Moorthy sepatutnya terlebih dahulu meletakkan diri sebagai rakyat Malaysia dalam isu rusuhan kuil itu, bukannya melihat isu tersebut berasaskan kaum.

Sebagai Menteri dan rakyat Malaysia juga, tambahnya, Waytha Moorthy bertanggungjawab mempertahankan negara berdasarkan semangat Perlembagaan dan Rukun Negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN