KUALA KEDAH 20 Dis. – Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli menziarahi keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Keberangkatan tiba Tengku Sarafudin Badlishah pada pukul 3.40 petang disambut ibu bapa Muhammad Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid, 63, dan Asma Aziz, 51.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
Baginda berdua meluangkan masa lebih 30 minit berbual dan bertanya khabar ahli keluarga Muhammad Adib selain memberi kata-kata semangat kepada kedua ibu bapanya.
Baginda berdua diiringi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Pengkalan Kundor.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hassan As’ari Omar dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohd. Zahar Abdullah.
Sementara itu, Ismail memaklumkan, Raja Muda Kedah sempat menasihatkan kedua ibu bapa Muhammad Adib agar menjaga kesihatan dan bersabar menempuh dugaan tersebut.
“Tengku Sarafudin Badlishah juga memberi jaminan untuk melihat apa sahaja keperluan keluarga ini dan jangan membiarkan mereka dalam kesusahan kerana Muhammad Adib memberi sumbangan besar kepada negara.
“Raja Muda Kedah juga dalam masa sama mengingatkan rakyat agar tidak menghukum sendiri kejadian itu dan tidak menjadikannya sentimen bangsa dan agama serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk merungkai kejadian terbabit,” katanya. – UTUSAN ONLINE










