Rafizi sifat keputusan Nurul Izzah tindakan berprinsip - Utusan Malaysia

Rafizi sifat keputusan Nurul Izzah tindakan berprinsip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyifatkan peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden PKR dan mengundurkan diri sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang sebagai tindakan berprinsip.

Jelasnya lagi, keputusan yang diambil oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh itu perlu dilihat dari sudut positif iaitu bagi membolehkannya kekal bersuara secara objektif membawa isu-isu rakyat selari dengan idealisme reformasi.

“Nurul Izzah ada berkongsi pandangan dengan saya secara berterusan, terutamanya yang bersabit komitmen reformasi kepada rakyat. Beliau sangat komited dengan idealisme reformasi dan sudah tentu ada beberapa perkembangan yang perlu diperhalusi dari semasa ke semasa.

“Beliau bukan mengundurkan diri dari politik dan kekal memainkan peranan penting di Parlimen dan persada politik tanah air. Beliau hanya mengundurkan diri dari jawatan kanan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun begitu, Rafizi menambah, beliau berharap Nurul Izzah dapat mempertimbangkan keputusan tersebut kerana merasakan anak sulung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu boleh mempertahankan idealisme reformasinya dengan kedudukan kanan dalam kepemimpinan PKR.

“Saya juga menghormati keputusan beliau. Kami sudah melalui masa muda membina Keadilan sejak kali pertama kami sepentas dari tahun 1999 lagi (di London), maka saya juga faham pandangan beliau.

“Oleh itu, saya akan menyokong segala keputusan yang dibuat oleh Nurul Izzah kerana saya percaya itu datang dari hasrat beliau untuk memainkan peranan dengan lebih berkesan,” katanya-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×