JOHOR BAHRU 6 Dis. – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan menjadikan Pulau Kukup di Pontian kekal sebagai Taman Negara Johor.
Perkenan itu dinyatakan Setiausaha Sulit kepada Sultan Johor, Jaba Mohd. Noah dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan Jabatan Diraja Johor di sini hari ini dengan menyatakan keputusan itu dibuat di bawah Enakmen Tanah Kesultanan.
“Hendaklah dijaga dan dikawal selia oleh kerajaan negeri Johor di bawah Perbadanan Taman Negara Johor bagi menjadikannya sebuah produk pelancongan negeri Johor,” katanya.
Semalam Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Pulau Kukup akan diubah status menjadi tanah kesultanan supaya kawasan itu akan lebih terjaga dan dilindungi selepas statusnya diubah.
Hari ini menerusi status terbaharu dalam akaun Tweeternya, Tunku Ismail tidak faham mengapa isu berkenaan Pulau Kukup di Pontian diperbesar dan dipolitikkan.
Putera sulung Sultan Johor itu berkata, ini kerana isu tanah adalah hak mutlak kerajaan negeri.
“Saya yakin apapun keputusan Ke bawah Duli Tuanku dan kerajaan negeri adalah yang terbaik untuk kepentingan dan kedaulatan Johor,” tulisnya dalam Tweet tersebut.
Dalam pada itu, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan usul tergempar untuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup.
Usul yang dibawa Ir. Khairuddin A. Rahim (PH-Senggarang) diluluskan Speaker DUN, Suhaizan Kaiat selepas dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Selain Khairuddin yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Pakatan Harapan (PH) Johor, usul itu turut dibahaskan oleh dua ADUN lain iaitu Mohd. Solihan Badri (PH-Tenang) dan Md. Ysahrudin Kusni (PH-Bukit Naning).
Mereka membahaskan betapa pentingnya memelihara dan memulihara pulau itu yang diiktiraf sebagai pulau hutan paya bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia.
Terdahulu, Khairuddin bangkit mengemukakan usul tersebut dibawa rundingan ke DUN Johor agar MMK mengambil maklum dan mengkaji semula tentang status Taman Negara Pulau Kukup.










