Empat pasukan terbaik dunia ke separuh akhir

Empat pasukan terbaik dunia ke separuh akhir

PERANCIS menjadi pasukan pertama menempah slot separuh akhir Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Maghribi 2-0-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLANTA: Buat kali pertama dalam sejarah Piala Dunia, empat pasukan teratas dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berjaya mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2026.

Pasukan No.1 dunia, Sepanyol, akan berdepan Perancis (ketiga) pada Rabu ini di Stadium Dallas, manakala Argentina (kedua) bertemu England (keempat) pada Khamis di Stadium Atlanta.

Kejayaan empat pasukan tersebut mara ke separuh akhir turut dibantu format baharu undian yang diperkenalkan FIFA khas untuk kejohanan kali ini yang menampilkan 48 pasukan.

Di bawah sistem baharu, empat pasukan dengan ranking tertinggi dunia ditempatkan dalam kuadran berasingan bagi memastikan mereka tidak bertemu sebelum peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, syarat utama untuk menikmati kelebihan itu ialah mereka perlu menjuarai kumpulan masing-masing, sesuatu yang berjaya dicapai oleh Sepanyol, Argentina, Perancis dan England.

Hasilnya, Sepanyol tidak boleh bertemu Argentina sebelum final, manakala England dan Perancis ditempatkan di laluan berbeza dalam fasa kalah mati dan hanya berpotensi bertemu Sepanyol atau Argentina pada separuh akhir.

FIFA menjelaskan perubahan itu dibuat bagi memastikan ‘keseimbangan kompetitif’ menerusi pembentukan ‘dua laluan berasingan ke separuh akhir.’

Kini, strategi terbabit menjadi kenyataan apabila separuh akhir menyaksikan pertembungan Sepanyol menentang Perancis dan England berdepan Argentina.

Pendekatan seumpama itu bukan sesuatu yang asing dalam sukan dengan Wimbledon serta format baharu Liga Juara-Juara turut menggunakan sistem pemisahan pasukan pilihan bagi mengelakkan pertemuan awal.

Ranking FIFA mula diperkenalkan pada 1994, namun tidak digunakan untuk menentukan undian Piala Dunia pada tahun terbabit.

Dalam beberapa edisi sebelum ini, pasukan ranking tinggi sering gagal memenuhi jangkaan.

Contohnya Belgium (2022), Jerman (2018), Sepanyol (2014), Itali (2010) dan Perancis (2002) berada dalam kelompok empat terbaik dunia tetapi gagal melepasi peringkat kumpulan.

Malah sejak Piala Dunia 1998, tidak pernah kesemua empat pasukan teratas ranking FIFA berjaya mara ke separuh akhir dalam edisi yang sama.

Apabila FIFA mengumumkan perubahan format undian bagi Piala Dunia 2026, badan induk itu melakukannya secara terbuka dan menjelaskan matlamat mereka adalah untuk mengelakkan pasukan gergasi bertemu terlalu awal dalam kejohanan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN