TEHERAN: Pertempuran Amerika Syarikat (AS) dan Iran semakin sengit pada Ahad selepas Teheran mengumumkan penutupan Selat Hormuz dan melancarkan serangan peluru berpandu serta dron ke atas beberapa negara Teluk.
Ia adalah sebagai tindak balas terhadap siri baharu serangan Washington.
Pentagon berkata, pihaknya melancarkan serangan ke atas Iran awal Ahad selepas Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melepaskan tembakan ke arah sebuah kapal kontena berdaftar di Cyprus yang didakwa menggunakan laluan tidak dibenarkan melalui Selat Hormuz.
Sebelum ini, IRGC berkata, pihaknya menyerang dan menghentikan kapal berkenaan yang didakwa mengingkari arahan berulang kali supaya menggunakan koridor perkapalan yang diluluskan, menurut agensi berita negara IRNA.
“Susulan insiden ini. Selat Hormuz akan ditutup sehingga diberitahu kelak dan sehingga campur tangan AS di rantau ini berakhir,” menurut kenyataan IRGC pada Ahad.
Markas Pusat AS (CENTCOM) berkata, kapal dagang MV GFS Galaxy tidak dapat meneruskan pelayarannya akibat kebakaran dan kerosakan serius di bilik enjin. Seorang anak kapalnya turut dilaporkan hilang. Beberapa letupan kedengaran di Doha, Qatar itu pada semalam, menurut wartawan AFP.
Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) berkata, 10 anak kapal warga India meninggalkan kapal itu menggunakan bot penyelamatdan memaklumkan insiden berlaku kira-kira 17 kilometer di timur Oman.
Menurut IRGC, ia kemudian memaklumkan pihaknya turut menyerang sebuah lagi kapal, menurut media kerajaan. Ia mendakwa kapal itu melanggar peraturan.
Walaupun Iran menyifatkan serangan ke atas kapal itu sebagai tembakan amaran, tentera AS berkata, Teheran secara terang-terangan menyerang kapal kontena berkenaan.
“Sebagai tindak balas, AS mengenakan tindakan balas dengan terus melemahkan keupayaan Iran untuk menyerang pelaut awam dan kapal dagang yang melalui selat itu secara bebas,” menurut kenyataan CENTCOM di platform X.
CENTCOM kemudian memaklumkan tenteranya menyerang kira-kira 140 sasaran ketenteraan Iran termasuk beberapa pangkalan pantai dan menara komunikasi IRGC di sepanjang pesisir selatan Iran. Menurutnya, tentera AS melengkapkan pusingan ketiga serangan minggu ini seperti diarahkan oleh Presiden Donald Trump.
“Iran membuat pilihan yang buruk. Kini mereka perlu menanggung akibatnya,” kata Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth.
Media Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di Bandar Abbas, Sirik, Jask, Pulau Qeshm dan wilayah Khuzestan yang bersempadan dengan Iraq. Namun, tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa.
Menurut IRGC, pihaknya kemudian mengumumkan melalui media kerajaan bahawa mereka bertindak balas dengan menyerang pangkalan tentera dan tapak radar AS di Jordan, Kuwait, Bahrain dan Qatar menggunakan peluru berpandu balistik termasuk dron.
Beberapa jam kemudian, siren amaran serangan udara dibunyikan di Bahrain, manakala Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar memaklumkan mereka berjaya memintas serangan peluru berpandu. Doha turut mengesahkan tiga individu cedera dalam serangan itu.
Serangan itu berlaku pada hari kerajaan Qatar mengumumkan kemangkatan bekas pemerintah negara itu, Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani, yang memimpin dari 1995 hingga 2013. Beliau berusia 74 tahun, menurut laman sesawang kerajaan Qatar.
Tentera Jordan turut memaklumkan tiga peluru berpandu Iran jatuh di dalam wilayah negara itu.
Menurut IRGC, ia mendakwa memusnahkan pusat sokongan logistik bagi kapal-kapal tentera laut dan kemudahan mengisi bahan api untuk kapal pengangkut pesawat AS di Pelabuhan Duqm, Oman.
Pada Sabtu, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei berikrar akan membalas dendam atas pembunuhan bapanya yang juga bekas pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei beberapa jam selepas Trump mengancam akan melancarkan tindakan balas yang dahsyat jika berlaku sebarang cubaan membunuhnya.
Beliau turut mendakwa Iran telah menyusun senarai individu yang akan menjadi sasaran.
Dalam pada itu, anak Khamenei itu tidak lagi muncul di khalayak sejak sebelum perang yang bermula pada 28 Februari dan dilaporkan cedera dalam serangan yang mengorbankan bapanya.
Beberapa jam sebelum itu, Trump menulis di platform Truth Social bahawa sebarang cubaan untuk membunuhnya akan menyebabkan AS memusnahkan Iran sepenuhnya.
Trump sebelum ini mengisytiharkan gencatan senjata dengan Iran telah berakhir, tetapi masih membuka ruang untuk rundingan, sementara usaha diplomatik diteruskan oleh negara pengantara.










