RANTAU PANJANG 17 Dis. – Seorang pemuda yang didakwa tinggal dalam sebuah pondok di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Pasir Parit, di sini yang tular di laman sosial Facebook semalam menafikan pondok tersebut adalah rumahnya.
Pemuda terbabit, Khoo Ah Keong, 36, berkata, pondok itu hanya dijadikan sebagai pangkalan bot selain tempat untuk melepaskan penat selepas mencari rezeki.
Katanya, dia terkejut apabila gambar pondoknya itu tular di facebook sejak semalam dengan keterangan mengelirukan kononnya dia ‘menderita tinggal di rumah di atas sungai’.
“Dakwaan mengatakan ini rumah saya tidak betul. Rumah saya hanya beberapa meter sahaja dari pondok ini.
“Lagipun, saya bekerja sebagai nelayan sungai, jadi saya mendirikan pondok di sungai untuk berehat setelah penat bekerja,” katanya.
Semalam, tular di laman sosial facebook apabila seorang koordinator di lapangan yang bertugas dengan Invoke Malaysia memuat naik gambar sebuah pondok daif dengan menulis status berbunyi: “Derita anak muda Kelantan berumah di atas sungai.”
Wanita itu turut menulis: “Kelantan negeri paling ramai miskin tegar di semenanjung (Sumber Jawapan Parlimen 16 Julai -16 Ogos 2018) dan remaja Kelantan paling banyak menagih dadah di Malaysia (Sumber Jawapan Parlimen 24 Oktober 2018).
Tulisan itu yang dikatakan sengaja memburuk-burukkan Kelantan tular di media sosial dan menerima kecaman hebat netizen menyebabkan wanita itu memadam status tersebut tidak lama kemudian. – UTUSAN ONLINE










