PKR, Bersatu lagi perit sebelum ‘menjadi’ - Utusan Malaysia

PKR, Bersatu lagi perit sebelum ‘menjadi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI membuktikan beliau berjiwa besar dengan memberi kepercayaan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO.

Selepas ini diharapkan tiada lagi tindakan keluar parti daripada ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN parti itu, yang kini ahli Parlimennya cuma berbaki 38 orang.

Dan Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat kini menggalas tanggungjawab berat untuk memulihkan UMNO.

MOHAMAD HASAN
MOHAMAD HASAN 

UMNO usah berputus asa untuk bangkit segera daripada kekecewaan. Kepada enam yang baru pergi, biarkanlah mereka berlalu. Apalah sangat enam berbanding 3.6 juta ahli UMNO yang mengisi posisi-posisi penting akar umbi di kira-kira berbaki 160 bahagian (daripada 191) dan lebih 20,000 cawangan parti itu di seluruh negara.

Situasi di Sabah tempoh hari yang menyaksikan sembilan ADUN, empat Ahli Parlimen, dua senator dan 21 ketua bahagian UMNO di negeri itu keluar beramai-ramai bagaimanapun boleh ditolak tepi kerana budaya sebahagian besar wakil rakyat di Sabah memang tradisinya begitu.

Pemimpin-pemimpin UMNO seharusnya mengambil iktibar dan meneladani bekas presidennya, negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Contohi daya juangnya. Tidak setakat menjadi Perdana Menteri dua kali, 1981 – 2002 dan 9 Mei 2018 menjengah usia 93 tahun, tetapi lebih mengujakan adalah kewibawaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu diketuainya menjadi tonggak kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Penangan Dr. Mahathir

Pahit getir Dr. Mahathir mengharungi kancah politik laluannya penuh berliku memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) boleh didokumentasikan untuk tatapan atau bacaan pengkaji sejarah serta anak-anak muda.

Kerana ‘penangannya’, Barisan Nasional (BN) yang dianggap sukar dikalahkan dan mentadbir Malaysia secara berte­­rusan selama 60 tahun akhirnya terpaksa akur dengan kehendak dan pilihan rakyat.

Apa yang tidak dibuat untuk memenangkan UMNO dan parti-parti komponennya. Media-media arus perdana dari elektronik dan cetakan mana yang tidak melaporkan berita atau liputan molek-molek tentang UMNO/BN, tetapi itulah ketentuan-Nya.

BN yang terakhir hilang kuasa memerintah dalam kalangan parti politik seangkatannya seperti Parti Kongres di India dan Golkar (Indonesia) yang telah lama hilang monopoli penguasaan politik di negara masing-masing.

Tambah ‘perit’ lagi, Dr. Mahathir menubuhkan Bersatu cuma 20 bulan sebelum PRU-14. Parti yang hanya memiliki 16 kerusi Parlimen (walaupun bertanding 52 kerusi) berbanding 50 PKR dan DAP (42) menempatkan pengerusinya sebagai Perdana Menteri ketujuh, menguasai beberapa kementerian kanan dan dua negeri selaku Menteri Besar.

Menoleh sebelah kanan pula, lihatlah keazaman Parti Keadilan Rakyat atau PKR, yang ditubuhkan pada 2003 hasil gabungan Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Walaupun KeADILan cuma dipimpin seorang ibu, Dr. Wan Azizah Wan Ismail sementelahan ketiadaan suaminya di penjara, beliau tetap berhasil meningkatkan perwakilan Parlimen dari hanya satu kerusi pada 2004, kepada 31 kerusi pada Pilihan Raya Umum 2008. Sekarang PKR memiliki 50 kerusi campur wakil Bebas.

Hikmah UMNO kalah

Pas pula lagi perit cabarannya sebelum apa yang terhidang hari ini. Semenjak 1990, Pas melangkah maju daripada sebuah parti pembangkang yang dianggap ‘ekstrem’ kepada parti moderate dalam melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan (1990), kemudian ke Terengganu (1999 hingga 2004). Dan Pas kemudian mendapat kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor.

Kejayaan cemerlang Pas dalam PRU-12 pada 2008 meletakkannya sebagai parti pembangkang utama. Pas cukup konsisten dalam perjuangan walaupun dipecah oleh ahli-ahli yang membentuk Parti Amanah. Oleh kerana konsistensi mereka itu maka mereka memperoleh 18 ahli Parlimen dan dua negeri (Kelantan dan Te­rengganu).

Meminjam ungkapan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang penampilannya diakui menonjol, malah turut dipuji oleh puteri reformasi, Nurul Izzah Anwar sebagai pembangkang yang hebat, dalam temuramah akhbar ini dengan beliau baru-baru ini, kata Ahmad:

“Perjuangan politik ini maraton. Cuma UMNO per­lu daya tahan yang tinggi, lebih-lebih lagi sebagai pembangkang.

“(Ini kerana) politik masa depan tidak perlu sehingga menunggu 61 tahun lagi untuk menjatuhkan satu-satu kerajaan. Politik masa depan ini politik ke arah negara maju. Apa yang dilihat perkara-perkara politik negara-negara maju, rakyatnya tidak menjadi runsing untuk tukar kerajaan.

“Pendek kata, dalam negara ini sudah sampai satu peringkat kematangan politik yang rakyatnya sudah tak peduli untuk tukar kerajaan yang mereka tidak suka.

Jadi, inilah yang akan berlaku pada PRU-15. Sikap rakyat yang inginkan kerajaan yang lebih baik diharapkan akan berlaku.”

Sambung Ahmad lagi:

“Ada dua hikmah daripada kekalahan UMNO. Hikmah pertama, rakyat untuk kali pertama dalam sejarah boleh buat perbandingan tentang Kerajaan Pusat.

Sebelum ini (dalam tempoh 61 tahun) cakap Barisan Nasional (BN) ini baik, bagus sebagai kerajaan. Tetapi nak bandingkan dengan kerajaan pusat mana?

“Maka sekarang ini, BN dan PH dalam masa lapan bulan ini kalau tanya rakyat secara rawak dan guna kaedah statistik yang betul, saya masih yakin ramai yang rindukan kerajaan BN. Itu hikmah pertama yang besar.

“Hikmah kedua ialah ma­sya­rakat Melayu dan Islam boleh ber­padu. Sebelum ini selama 61 tahun UMNO dan Pas bergaduh sesama Melayu Islam. Tapi pada 17 November lalu di mana satu perhimpunan yang dikenali Perhimpunan Perpaduan Ummah di Pasir Salak telah menyaksikan Pre­siden UMNO dan Presiden Pas berucap dalam satu pentas.

“Ahli-ahli Parlimen UMNO dan Pas turut bergabung sebagai satu pakatan pembangkang, bukan hanya di peringkat pusat tapi negeri-negeri.

Dan lihatlah impak yang dicetuskan dari #Daulathimpunan812 di Dataran Merdeka yang dihadiri ratusan ribu orang.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×