PORT DICKSON 20 Dis. – Pasti ramai teruja dan ternanti-nantikan kembalinya penganjuran Pesta Port Dickson yang pernah mendapat sambutan hebat kira-kira sedekad lalu.
Meskipun dilihat gah pada namanya, pesta yang diadakan semula dilihat tidak mampu menarik pengunjung seperti diharapkan.
Tinjauan Utusan Kota baru-baru ini mendapati para peniaga yang membuka gerai jualan mengeluh resah ekoran kurang sambutan sehingga menjejaskan pendapatan.
Peniaga makanan, Siti Nasrah Endot, 29, berkata, bilangan peniaga di tapak pesta pada awalnya agak ramai namun ada yang mula ‘angkat kaki’ selepas tidak untung berniaga.
“Saya bayar sewa tapak RM5,000. Tapi lihatlah apa yang dapat. Pendapatan kami tidak pernah lebih daripada RM100 sehari. Itu pun mengharap pada pengunjung yang datang ke ‘fun fair’ di tapak ekspo.
“Sebelum ini tempat saya berniaga di bahagian belakang. Apabila saya lihat ramai peniaga sudah keluar saya ambil keputusan untuk pindah ke bahagian depan. Malangnya saya dikenakan bayaran tambahan dan saya tak mampu membayarnya,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Pesta tersebut yang diadakan mulai 28 November lalu sehingga 31 Disember ini dimeriahkan dengan gerai jualan, pameran dan persembahan artis.
Sementara itu seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Cheok berkata, tapak pesta agak terlindung dan sukar dilihat oleh orang ramai.
“Pihak penganjur sepatutnya meletakkan tapak ini di kawasan yang lebih strategik seperti di Telok Kemang yang sememangnya menjadi tumpuan orang ramai selain berdekatan dengan hotel dan tempat penginapan.
“Pada mulanya saya menjangkakan Pesta Port Dickson akan jadi semeriah dahulu tetapi hampa apabila ia jauh berbeza dengan apa yang diharapkan,” katanya.
Ujarnya, Majlis Perbandaran Port Dickson diminta menyuntik idea baharu kepada penganjuran pesta itu supaya menjadi produk pelancongan kepada negeri ini.
Sehubungan itu, perancangan lebih teratur dan rapi diperlukan oleh pihak penganjur misalnya dengan pengisian yang lebih menarik seperti aktiviti untuk seisi keluarga, acara pertandingan, pameran dan persembahan.










