Perubahan format PT3 punca keputusan merosot - Utusan Malaysia

Perubahan format PT3 punca keputusan merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 15 Dis. – Perubahan format ke atas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) menyebabkan tahap kecemerlangan pendidikan di Terengganu sedikit menurun bagi kedua-dua peperiksaan tersebut.

Shafruddin Ali Hussin
Shafruddin

Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin bagaimanapun berkata, perkara tersebut tidak berlaku ke atas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang menyaksikan negeri ini masih lagi dominan berbanding negeri lain.

Katanya, senario pendidikan di negeri ini sedikit berubah setelah format baharu UPSR dilaksanakan di mana kalau sebelum ini Terengganu mendapat straight A 12 peratus, tetapi sekarang hanya dua peratus sahaja.

“Isu kita hanya satu sahaja, iaitu melibatkan matapelajaran Bahasa Inggeris Penulisan yang boleh dianggap sebagai ‘pembunuh’.

“Perkara ini tidak berlaku di negeri yang majoriti pelajar Cina, sebelum ini tidak pernah Pulau Pinang menang dengan kita, tidak pernah Melaka, Negeri Sembilan mengatasi kita, tetapi sekarang kita nampak negeri yang dominan oleh bangsa lain telah berada sedikit di atas berbanding pencapaian kita.

“Mereka memperoleh A sebanyak 9.9 peratus Bahasa Inggeris Penulisan di peringkat Nasional, sedangkan kita hanya mendapat 9 peratus sahaja, meletakkan satu-satunya mata pelajaran yang berada di bawah Nasional, namun lain-lain mata pelajaran, kita masih berjaya mengatasinya, katanya.

Shafruddin berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran dan Mesyuarat Agung Pertubuhan Warisan Pendidikan Terengganu (Pewaris Terengganu) di Sekolah Kebangsaan Durian Burung, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Pewaris Terengganu, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad.

Menurut Shafruddin, bagi pepepriksaan PT3 pula, pencapaian Terengganu masih boleh dibanggakan, namun apa yang membimbangkan ialah pencapaian bagi mata pelajaran matematik yang hanya 47 peratus sahaja lulus, manakala 53 peratus pula gagal, tetapi ia tidak membabitkan Bahasa Inggeris.

“Kita sedang mencari punca sebenar terhadap setiap permasalahan ini dalam usaha untuk mengekalkan kecemerlangan pendidikan di negeri ini. Apapun dalam peperiksaan SPM dan STPM, kita masih lagi dominan”, ujar beliau.

Selain itu, Shafruddin turut memberitahu bahawa Terengganu masih menghadapi masalah kekurangan guru mata pelajaran Bahasa Inggeris yang amat ketara melibatkan sekolah rendah dan menengah.

Katanya, pada tahun hadapan, kekangan guru akan terus berlaku di semua sekolah di negeri ini kerana tiada pelantikan baharu dibuat bagi menggantikan guru-guru yang mengambil pencen pilihan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN