ISKANDAR PUTERI 4 Dis. – Kerajaan negeri akan melaksanakan beberapa strategi berkaitan industri halal sejajar usaha memperkukuhkan sektor tersebut di negeri ini pada tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, strategi tersebut melibatkan penggalakan industri halal, pemantauan dan promosi industri halal.
Menurutnya, usaha itu bagi membuka jaringan rantaian bekalan yang sangat luas selain

mewujudkan ribuan peluang pekerjaan mahir berpendapatan tinggi.
“Industri halal merupakan industri yang semakin mendapat perhatian serta mempunyai potensi tinggi untuk diterokai.
“Keutamaan produk halal juga bukan terletak pada sijil sahaja tetapi penghasilan produk itu sendiri mementingkan aspek kualiti dan kebersihan,” katanya ketika menjawab soalan Andrew Chen Kah Eng (PH- Stulang) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Jimmy berkata, kerajaan negeri mengenal pasti industri halal sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi berdasarkan kepada nilai pasaran halal global yang besar.
Katanya, saiz pasaran itu juga akan terus berkembang berdasarkan peningkatan kesedaran dan permintaan kepada produk dan perkhidmatan halal daripada 1.8 bilion penduduk Islam dari seluruh dunia terutama Jepun, Timur Tengah dan Eropah.










