Perkemas semula SOP - Utusan Malaysia

Perkemas semula SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROSEDUR Operasi Standard (SOP) melibatkan kerja-kerja berisiko tinggi mengancam nyawa penjawat awam perlu diperkasakan segera. Peri pentingnya perkara ini dilakukan demi kebajikan penjawat awam itu sendiri dan keluarga mereka.

Dalam kalangan rakyat negara ini selain anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), kerjaya anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut berisiko mengancam nyawa.

Peristiwa rusuhan di USJ 25 tiga minggu lalu yang menyebabkan kehilangan nyawa anggota JBPM, Muhammad Adib Mohd. Kassim (setelah berada dalam rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak insiden tersebut) perlu diambil iktibar agar SOP yang lebih komprehensif diwujudkan.

Mungkin selepas ini zon rusuhan tidak perlu dimasuki oleh JBPM melainkan ada sokongan daripada pasukan PDRM mahupun ATM.

Muhammad Adib hanya menunaikan tanggungjawab beliau sebagai anggota JBPM untuk memadam kebakaran tetapi rasa amarah suspek-suspek menyebabkan beliau menjadi mangsa.

Sewajarnya dalam keadaan penuh kesedihan dan muram di negara ini, kita tidak mahu peristiwa sama terus berulang pada masa depan.

Kisah SOP ini bukanlah asing kerana pada Oktober lalu insiden semasa operasi menyelamat seorang remaja yang dilaporkan tergelincir, ketika memancing di lombong di kawasan Puchong bertukar tragedi apabila enam penyelam JBPM yang terbabit dalam pencarian itu lemas akibat terbelit tali di dasar.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pusaran arus deras berpunca dari hujan lebat yang mengalir ke kawasan tumpuan operasi yang sedang dijalankan oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang serta Shah Alam.

Kita bukanlah menolak takdir. Sebagai umat Islam kita perlu berusaha untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang dengan meningkatkan kemampuan taktikal dan teknikal penjawat awam.

Mungkin pengalaman-pengalaman dilalui anggota JBPM di seluruh dunia dapat dijadikan panduan untuk menangani sesuatu kes yang sedang berlaku.

Pada peristiwa 9 November 2001 yang menyebabkan runtuhnya menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, seramai 343 anggota bomba terkorban apabila bangunan yang sedang terbakar runtuh sama sekali.

Tragedi yang mengejutkan dunia tersebut menyebabkan SOP menyelamat perlu memasukkan senario melibatkan kegiatan pengganas di dalam latihan untuk anggota penyelamat.

Bila kebakaran berlaku berpunca daripada sebuah kapal terbang merempuh sebuah bangunan, kesannya amat sukar digambarkan. Mungkin tidak terfikir oleh sesiapa akan berlaku kerosakan berskala besar.

Ini disebabkan kita beranggapan senario kerosakan dan huru-hara ini hanya akan digarap dalam filem sahaja. Sedangkan kita lupa manusia dan tangan mereka berpotensi menyebabkan kerosakan di muka bumi ini.

Justeru pihak yang berkepentingan perlu memperkasakan suatu SOP yang bukan sahaja merangkumi segala kemungkinan berlakunya kebakaran kerana sebab yang biasa malahan mencakupi semua aspek kemanusiaan termasuk rusuhan mahupun demonstrasi.

Semakin canggih dunia hari ini semakin canggih kemalangan mahupun kes menyelamat yang berlaku. Kita tidak tahu apa yang berada di hadapan melainkan kita perlu melaluinya. Oleh itu persediaan rapi perlu dilakukan langkah demi langkah.

Kepada rakyat Malaysia, kita hargailah segala tindak-tanduk seorang penjawat awam dalam melaksanakan kerja dengan SOP yang ada kerana mereka telah dilatih dengan sebaik-baiknya di pusat latihan.

Mereka bekerja secara profesional demi mencari sesuap nasi, jangan terlalu beremosi. Setiap perkara perlu ada batasan, kerana ikut rasa binasa.

Kita sebagai rakyat biasa perlu bersabar dalam menangani sesuatu hal bukan bertindak semberono dan hentam keromo hingga menyebabkan kehilangan nyawa penjawat awam.

Bersabar dan terus bersabar dalam menangani sesuatu perkara yang berlaku. Itulah SOP kita rakyat Malaysia. 


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN