Perhimpunan #DaulatHimpunan812 tanda solidariti rakyat - Utusan Malaysia

Perhimpunan #DaulatHimpunan812 tanda solidariti rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 7 Dis. – Perhimpunan #DaulatHimpunan812 menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)akan menjadi penunjuk kekuatan rakyat dan tanda solidariti bagi menghalang sebarang agenda untuk merosakkan Perlembagaan Persekutuan.

MOHD. NORHIESAM ISMAIL
MOHD. NORHIESAM ISMAIL 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, mesej jelas yang ingin disampaikan dalam perhimpunan itu adalah gelombang rakyat akan bangkit membuak-buak sekiranya hak dan Perlembagaan Persekutuan cuba diusik serta dipermainkan.

“Kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sering melaungkan kebebasan berhimpun dan bersuara, hormatilah suara rakyat.

“Tidak perlu menakut-nakutkan rakyat dan membuat pelbagai provokasi kepada peserta perhimpunan ini, jangan di depan cakap lain di belakang buat lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, sebagai rakyat yang menghormati undang-undang peserta perhimpunan itu akan berhimpun dengan aman dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Malah, katanya, mana-mana pihak juga tidak perlu bimbang kerana perhimpunan ini sudah pun mendapat kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Pihak penganjur juga telah menyediakan khidmat guaman sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua masyarakat tanpa mengira fahaman untuk menghadiri perhimpunan tersebut demi mempertahankan hak dan Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN