Perak bertegas, perangi pembalak haram - Utusan Malaysia

Perak bertegas, perangi pembalak haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM 17 Dis. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memandang serius laporan pencerobohan hutan simpan kekal di Hulu Perak dan bertegas akan memerangi pembalak haram demi menjaga alam sekitar termasuk hasil kerajaan negeri.

Ahmad Faizal berkata, sekiranya laporan itu benar, beliau merasa amat kecewa dan tindakan segera mesti diambil kerana kerajaan negeri serta Jabatan Perhutanan Perak tidak merestui perbuatan tersebut terutamanya membabitkan penerimaan suapan oleh penguat kuasa.

Namun katanya, pihaknya memerlukan lebih maklumat tetapi mendakwa Utusan Malaysia enggan memberikan kerjasama untuk memberikan senarai lapan syarikat yang didakwa terlibat menjalankan pembalakan melebihi had kawasan di bawah lesen, setelah dihubungi oleh Jabatan Perhutanan.

“Jadi, tindakan saya seterusnya pada hari ini, saya telah meminta Setiausaha Sulit Kanan saya untuk membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan laporan ini kerana saya kira, mereka adalah pihak berkuasa yang boleh mendapatkan lebih maklumat.

“Apabila laporan sebegini keluar dan Jabatan Perhutanan telah memasuki kawasan dilaporkan itu dari semalam, itu tindakan yang kita boleh buat. Namun, jika benar melanggar perlesenan hutan dan sebagainya, kita perlu ambil tindakan lain tetapi maklumat itu kita tidak ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penyerahan hak milik tanah kepada 179 peneroka Felda Sungai Behrang di Dewan Semai Bakti, Felda Sungai Behrang di sini hari ini.

Ahmad Faizal mengulas mengenai laporan khas Mingguan Malaysia semalam yang mendedahkan mengenai kegiatan lapan syarikat didakwa ‘kebal’ daripada sebarang tindakan meskipun menjalankan kegiatan pembalakan haram dengan menyalahgunakan lesen diberikan di sekitar kawasan hutan simpan kekal di daerah Hulu Perak.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengakui, bukan semua hutan rizab tidak boleh dijalankan pembalakan kerana ada yang dibenarkan tetapi tertakluk kepada beberapa peraturan amat ketat.

Menurut beliau, bukan semua pokok boleh ditebang melainkan pokok-pokok yang terhad kepada 61 meter padu sehektar selain pokok besar dengan ukur lilit tertentu.

“Jadi saya bimbang, ada pihak memikirkan bila kita bagi lesen balak ini, boleh tebang pokok apa sekalipun. (Sebenarnya) Tidak, dia ada ‘tagging’ dan proses ini mengambil masa yang panjang.

“Saya percaya kalau ada pun lesen-lesen pembalakan yang sedang diusahakan sekarang ini, ia lesen-lesen pembalakan daripada pentadbiran terdahulu sebab ia ambil masa panjang, nak buat ‘tagging’ dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN