Peng Soon-Liu Ying keluar BAM - Utusan Malaysia

Peng Soon-Liu Ying keluar BAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJUTAN buat arena sukan badminton tanah air apabila beregu campuran No.1 negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying mengambil keputusan drastik meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Perkara itu disah-kan oleh badan induk sukan badminton negara menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan semalam.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka selain percaya tindakan Peng Soon-Liu Ying itu adalah bagi mencerahkan peluang mereka merebut tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Difahamkan, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil itu sudah menyerahkan surat permohonan meninggalkan BAM penghujung bulan lalu dan akan bergerak sebagai pemain profesional mulai Januari depan.

“Keputusan mereka lakukan itu mirip seperti Iskandar (Zulkarnain Zainuddin). Saya fikir mereka mungkin mahu bergerak secara profesional bagi menghidupkan peluang untuk beraksi pada Sukan Olim-pik 2020.

“Justeru, BAM atas dasar itu menerima keputusan yang dibuat Peng Soon-Liu Ying. Mereka berdua adalah pemain berpengalaman, jadi saya percaya mereka mampu capai impian beraksi di Tokyo nanti,” kata Norza.

Tindakan Peng Soon-Liu Ying meninggalkan BAM memberi tamparan hebat buat badan induk itu dalam persiapan memburu slot ke Sukan Olimpik, lebih-lebih lagi hanya memiliki dua beregu yang berada dalam kelompok 30 teratas dunia iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Sementara itu, Peng Soon mengesahkan mereka akan meninggalkan BAM tetapi enggan mengulas lanjut mengenai punca sebenar keputusan tersebut dibuat.

“Ya betul (meninggalkan BAM), saya akui ia bukan keputusan yang mudah untuk dibuat. Saya juga sedih kerana terpaksa membuat keputusan se-perti ini,” katanya ringkas.

Pada masa sama, Liu Ying memberitahu, mereka akan mengadakan satu sidang akhbar khas dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan sebenar berhubung keputusan me-ngejutkan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN