KAJANG – Dua orang penagih yang tergamak membawa anak mereka sewaktu melepaskan gian adalah antara 64 individu yang ditahan pihak polis dalam dua serbuan di sekitar kawasan Bandar Rinching dan Kajang Utama di sini awal pagi tadi.
Kesemua penagih berkenaan ditahan dalam Ops Tapis Khas Daerah Kajang yang merupakan kerjasama di antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kajang juga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan kekuatan sembilan pegawai serta 43 anggota dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan kekuatan seramai enam anggota.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, dalam operasi yang bermula sekitar pukul 4 pagi itu, pihaknya telah berjaya menyelamatkan tiga orang bayi berusia dua bulan hingga 1 tahun itu yang ditinggalkan di dalam kereta sementara bapa mereka pergi melepaskan gian.
“Kedua-dua lelaki berkenaan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap didapati pergi ke lokasi berkenaan untuk melepaskan gian dengan membawa anak masing-masing sebaik selesai menghantar isteri mereka ke tempat kerja.
“Sewaktu pemeriksaan dijalankan, pihak polis telah menemui ketiga-tiga bayi berkenaan di dalam dua buah kereta berasingan yang ditinggalkan di kawasan tersebut sementara si bapa pergi melepaskan gian,” katanya pada satu sidang akhbar di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.
Menurut Ahmad Dzaffir, mereka yang ditahan terdiri daripada 62 lelaki serta dua wanita berusia di antara 19 hingga 68 tahun dan kesemua tahanan merupakan warga tempatan yang tinggal di sekitar kawasan tersebut.
“Turut ditahan dalam operasi kali ini adalah seorang lelaki yang dipercayai berperanan sebagai pengedar dadah kepada penagih-penagih yang ditahan.
“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas lelaki tersebut telah menemui sebanyak 30 paket mengandungi dadah dipercayai jenis heroin seberat 25 gram,” ujar beliau. – K! ONLINE










