KUALA LUMPUR 20 Dis. – Walaupun tidak membuat sebarang memorandum bantahan, Pergerakan Pemuda UMNO tetap berpegang kepada pendirian supaya P. Waytha Moorthy dilucutkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio perpaduan.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana Waytha Moorthy didapati gagal menjadi pemimpin yang bertindak sebagai menyatukan rakyat pelbagai kaum.
Bukan itu sahaja, Asyraf Wajdi juga kecewa dengan sikap serta pendirian Waytha Moorthy yang berterusan memainkan sentimen dilihat hanya menyebelahi satu kaum.
“Dalam insiden di kuil Sri Maha Mariamman umpamanya, kenyataan tidak bertanggungjawab beliau menyalahkan polis sebagai tidak berkesan mengawal suasana pergaduhan pada malam pertama telah memburukkan lagi situasi dan menjadi antara faktor anggota Bomba, Muhammad Adib turut dicederakan dan meninggal dunia akibat daripada insiden tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) telah menemui Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menyerahkan memorandum menuntut peletakan jawatan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu di pejabatnya semalam sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung.
Memorandum itu juga difahamkan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Waytha Moorthy yang didakwa telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. -UTUSAN ONLINE










