KEMAMAN 15 Dis. – Pergerakan Pemuda UMNO bersedia mengambil alih tempat kepimpinan ‘senior’ yang merasakan tidak tahan dengan tekanan apabila menjadi pembangkang.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini terbukti apabila lima ketua pemuda di Sabah kini memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian kerana ramai pemimpin-pemimpin atasan yang lompat parti demi survival diri.
Beliau menyatakan demikian di hadapan 200 pemimpin dan ahli UMNO Bahagian Kemaman dalam sesi diskusi ‘Kebangkitan Ummah bersama pimpinan empat peringkat bahagian itu di Dewan UMNO, di sini malam tadi.
Yang hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Mohd. Hisham Zubir dan Ketua Pemuda Bahagian, Hashim Ali.
Menurut Asyraf Wajdi, UMNO sedang melalui fasa pemutihan dan peremajaan semula jadi justeru, mereka yang selama ini menjadikan parti sebagai wadah kepentingan diri untuk meraih keuntungan duniawi dengan sendirinya akan memisahkan diri daripada agenda perjuangan sejati.
Katanya, apa yang penting ialah warga parti di peringkat akar umbi harus dijaga dan disantuni secara berterusan bagi menjelaskan apa sebenarnya hala tuju dan gerak kerja parti setelah hilang kuasa di peringkat Persekutuan.
“Setelah menjelajah ke semua negeri dan memulakan program UMNO Bangkit Kembali yang memasuki bahagian ke-25 di Kemaman malam ini, saya melihat ahli di akar umbi masih teguh dan kuat semangat juang untuk kembali bangkit,” katanya.
Terdahulu, Asyraf Wajdi turut meluangkan masa menyertai program sembang santai bersama peneroka Felda Seberang Tayor dan perlawanan persahabatan futsal bersama kempimpinan UMNO dan Pemuda di samping menziarahi bekas Setiausaha Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Johar @ Ismail Yusof serta ahli jawatan kuasa Pemuda, Mohd. Hafiz Rajik. – UTUSAN ONLINE










