SEGAMAT – Seorang pemandu lori didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membawa ternakan lembu menaiki lori tanpa kebenaran daripada Jabatan Veterinar negeri, Julai lalu.
Majistret Salina Omar juga turut memerintahkan tertuduh Suhaimi Sukar, 40, dipenjara selama empat bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang berasal dari Felda Redong Satu, Labis didakwa membawa ternakan lembu hidup berjumlah 12 ekor menggunakan sebuah lori tanpa Perakuan Kebenaran Pindah dari Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Johor di dalam daerah yang diwartakan sebagai kawasan kawalan penyakit kuku kaki tangan dan mulut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi jalan berhadapan dengan Pejabat Pos Labis pada pukul 4 petang, 3 Julai lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa didakwa membawa ternakan lembu hidup berjumlah 12 ekor menggunakan sebuah lori tanpa Perakuan Kesihatan Veterinar yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Johor di dalam daerah yang diwartakan sebagai kawasan kawalan penyakit kuku kaki tangan dan mulut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat dan waktu yang sama.
Mengikut pertuduhan pertama tertuduh telah melanggar kehendak Peruntukan Perenggan 2(a)(iii) Kawasan Kawalan Penyakit Kuku Kaki Tangan dan Mulut Negeri Johor 2005 dan boleh dihukum dibawah Sub-Seksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452).
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Peruntukan Perenggan 2(a)(iv) Kawasan Kawalan Penyakit Kuku Kaki Tangan dan Mulut Negeri Johor 2005 dan boleh dihukum dibawah Sub-Seksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452).
Tertuduh boleh didenda maksimum RM15,000 jika sabit kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri Mohd. Faiz Ajis manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. – K! ONLINE.










