KUALA LUMPUR 17 Dis. – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof mengesahkan kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah kosong dan pilihan raya kecil bagi kawasan tersebut akan diadakan dalam masa terdekat.
Ia susulan makluman daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa penyandangnya sebelum ini, Datuk C. Sivarraajh gagal mengemukakan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Pengerusi SPR memaklumkan bahawa selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan telah berlaku kekosongan luar jangka bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.078 Cameron Highlands mulai 15 Disember 2018.
“Sehubungan itu, pihak SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 30 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Sivarraajh bagi kerusi itu terbatal dan tidak sah kerana berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi. – UTUSAN ONLINE










