GUA MUSANG 18 Dis. – Seramai 50 penduduk Orang Asli di Pos Balar di sini bergotong-royong membaiki laluan jalan balak yang rosak akibat hujan berpanjangan ketika musim tengkujuh ini.
Jalan balak tersebut merupakan laluan utama penduduk Orang Asli di pedalaman untuk ke bandar Gua Musang sejak puluhan tahun lalu.
Penghulu Pos Balar, Alek Busu berkata, kerja-kerja membaiki laluan yang rosak itu telah dilakukan sejak semalam.

Katanya, ketika musim tengkujuh, keadaan jalan balak yang berselut dan lecak menyebabkan penduduk di kampung berkenaan perlu menempuh perjalanan selama 12 jam untuk keluar ke bandar berbanding hari biasa hanya memakan masa empat jam.
“Keadaan laluan yang rosak perlu dibaiki kerana tidak tahan motosikal sering terbenam dalam selut dan lumpur.
“Mereka menggunakan kayu hutan sebagai alas untuk mengurangkan kerosakan jalan itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang penduduk, Kamal Alek, 33, pula berkata, kumpulan yang melakukan gotong-royong itu terdiri daripada belia kampung serta kanak-kanak Orang Asli di Pos Balar.
“Kami masyarakat Orang Asli bersepakat membantah program kumpulan pacuan empat roda yang akan masuk ke Pos Balar selepas ini kerana kami telah berusaha membaiki jalan itu.
“Jika berdegil, kami akan menyekat kenderaan terbabit dan meminta sumbangan wang untuk tabung komuniti bagi membaiki jalan yang rosak,” katanya.










