KOTA TINGGI 18 Dis. – Seawal pukul 7 pagi lagi, kawasan di Kampung Orang Asli Sungai Selangi dekat sini baru-baru ini sibuk dan meriah dengan kehadiran penduduk setempat.
Pelbagai peringkat umur dapat dilihat. Mereka merupakan penduduk tempatan yang mengikuti program Swadaya Desa: Sihat dan Jelita bersama masyarakat Orang Asli Kanaq di kampung itu.
Program yang dijalankan bermula pada 8 pagi hingga 5 petang itu berjaya membuatkan masyarakat Orang Asli Kanaq yang dikenali sebagai kelompok etnik pemalu menjadi mudah mesra menerima kunjungan orang luar.

Antara pengisian program termasuk aktiviti tatarias yang mengajar mereka cara-cara menjaga kulit wajah, asas solekan dan penampilan diri kepada golongan wanita selain turut menganjurkan pertandingan Miss Jelita.
Selain itu, aktiviti kebersihan diri meliputi cara menjaga kebersihan serta penjagaan tubuh badan meliputi penjagaan mulut dan gigi, penjagaan rambut daripada kutu serta kebersihan kuku, tangan dan kaki turut dikongsi bersama-sama mereka terutama golongan kanak-kanak Orang Asli Kanaq, mereka turut menjalankan aktiviti gotong royong.

Dalam program sama, ceramah berhubung penjagaan kesihatan diri serta pemeriksaan payu dara juga diadakan untuk golongan wanita manakala pertandingan bola sepak bagi golongan lelaki turut diadakan.
Perasmian program anjuran Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili itu disempurnakan ADUN Sedili, Rasman Ithnain.
Selain itu, turut mendapat kerjasama Pejabat Penghulu Mukim Sedili, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kota Tinggi, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Kampung Gembut serta Lembaga Pembangunan dan Perancang Keluarga Johor.
Suku kaum Orang Asli Kanaq merupakan satu daripada 18 suku kaum Orang Asli yang terdapat di negara ini dan tergolong dalam kumpulan Melayu Proto selain Senoi dan Negrito.

Dengan hanya seramai 89 orang daripada 24 buah keluarga, masyarakat Kanaq menjadi suku kaum Orang Asli yang paling kecil bilangan penduduknya di dunia berbanding suku kaum Orang Asli lain.
Sementara itu, menurut Rasman, program yang dijalankan itu amat baik dan perlu diteruskan kerana masyarakat Orang Asli Kanaq dikenali sebagai sangat pemalu, cuba mengelak daripada bertemu orang luar dan lebih gemar bergaul dalam lingkungan mereka sahaja.
“Jadi, dengan adanya penganjuran program seumpama ini, saya percaya ia akan membantu kaum Kanaq untuk merapatkan lagi hubungan selain membuatkan mereka mudah mesra menerima orang luar. Kita sememangnya mahu mereka bergaul sebagai sebuah keluarga besar negara ini,” katanya.










