'Nasib di tangan kita sendiri' - Utusan Malaysia

‘Nasib di tangan kita sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Di atas kertas dan padang, Jerman adalah lawan yang sukar untuk dijinakkan Malaysia apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi terakhir Kumpulan D, hoki Piala Dunia 2018 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar esok.

Malaysian Tigers tidak pernah menang ke atas juara dunia dua kali itu dalam lima pertemuan terakhir, namun esok anak-anak buah Roelant Oltmans wajib mengalahkan mereka jika mahu memburu tiga kedudukan terbaik kumpulan, sekali gus layak ke pusingan seterusnya.

Ia misi yang sukar, namun kapten Malaysia, Mohamad Sukri Abdul Mutalib menegaskan, pemain negara tidak akan sesekali menyerah kalah sebelum masuk ke padang.

“Semuanya sangat jelas, apa yang perlu kami lakukan. Kami kena perbaiki permainan dan berusaha habis-habisan untuk mendapatkan keputusan terbaik menentang Jerman.

“Kami mempamer aksi sederhana ketika bertemu Pakistan dan tidak banyak menjaringkan gol, namun sama ada kami boleh layak atau tidak ke pusingan seterusnya, ia terletak pada tangan kami sendiri.Saya percaya, semua pemain sedar akan tanggungjawab yang perlu digalas.

“Kita semua tahu tentang kualiti Jerman, malah sesetengah pemain pernah menentang mereka dalam perlawanan sebelum ini,” kata Mohamad Sukri.

Malaysia dibelasah 7-0 oleh Belanda dalam aksi pembukaan, dan Jerman, juara 2006 dan 2002 pula membenam Belanda 4-1, Rabu lalu.

Bagaimanapun, kesukaran Jerman untuk menewaskan Pakistan 1-0 dalam saingan pertama mereka pada 1 Disember lalu membuktikan, pasukan No. 6 dunia itu masih mempunyai ruang untuk dihukum. Malaysia seri 1-1 dengan Pakistan dalam aksi kedua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN