Mohon maaf kepada rakyat antara syarat sertai PH - Utusan Malaysia

Mohon maaf kepada rakyat antara syarat sertai PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Individu atau kumpulan daripada Barisan Nasional (BN) yang mahu meninggalkan parti itu dan menyertai Pakatan Harapan (PH) perlu melakukan permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat atas keputusan menyokong kerajaan terdahulu sebelum dan semasa Pilihan Raya Umum ke-14.

Itu antara syarat yang ditetapkan oleh Pemuda Pakatan Harapan dalam menangani isu penghijrahan pemimpin pembangkang ke dalam PH. 

Syarat tersebut terkandung dalam satu kenyataan yang ditandatangani Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ketua Angkatan Muda Keadilan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzan dan  Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan How hari ini.

Kenyataan itu menyebut, pemimpin pembangkang yang meninggakan BN perlu menjadi ahli Parlimen bebas terlebih dahulu sebelum diterima sebagai anggota Parlimen PH.

Syarat-syarat  ketat lain yang perlu dikenakan termasuk lulus saringan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, melakukan pengisytiharan harta secara telus dan tidak diberi jawatan penting dalam kerajaan Pusat atau Negeri
 
“Pimpinan Pakatan Harapan hanya boleh menerima kumpulan ini jika benar-benar berpuas hati mereka telah melepasi syarat yang dikenakan ini. Pemuda Pakatan Harapan juga ingin menegaskan bahawa pertukaran parti politik tidak boleh sama sekali memberi pengecualian untuk sebarang bentuk siasatan salah laku dan ketirisan dikenakan kepada mana-mana individu.

“Pemuda Pakatan Harapan ingin mengingatkan Kerajaan Malaysia agar jangan sesekali lupa mandat rakyat yang diberikan melalui undi PRU14. Anak muda mahukan kerajaan yang berintegriti dan bermaruah, bukannya kerajaan yang mendahulukan kuasa dan kepentingan politik. Pakatan Harapan bukan satu lesen untuk mencari kekayaan harta dan pengaruh kuasa,” kata kenyataan tersebut.

Jelas mereka, kerajaan Pakatan Harapan perlu sentiasa komited untuk menjunjung prinsip kepentingan dan keperluan rakyat mestilah diutamakan melebihi kepentingan sempit politik kepartian.

Proses saringan perlu jelas, telus dan wajib dilaksanakan oleh semua parti komponen Pakatan Harapan sebelum mana-mana keputusan untuk menerima kemasukan ahli-ahli baru yang baru meninggalkan parti asal mereka.-UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×