SHAH ALAM 17 Dis. – Tindakan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd. Fasiah Fakeh yang mengumumkan keluar parti Jumaat lalu merupakan satu pengkhianatan terutama kepada penyokong dan pengundi di kawasan tersebut.
Malah, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan rasa kesal dengan tindakan dibuat Mohd. Fasiah dan mahu beliau melepaskan jawatannya dengan mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket UMNO.
Menurut Ismail Sabri, pihaknya tidak mendesak Mohd. Fasiah melepaskan jawatan, namun sekiranya beliau seorang bermaruah serta mempunyai moral seharusnya meletakkan jawatan dan bertanding semua sama ada atas tiket bebas atau parti lain.
“Ini kerana tindakannya keluar parti adalah tidak wajar langsung kerana menang atas tiket UMNO dan tiba-tiba lari serta meninggalkan parti.
“Ini adalah pengkhianatan kepada penyokong yang bekerja untuknya siang dan malam, namun menyerahkan perkara ini sepenuhnya kepada ibu pejabat untuk tindakan lanjut. Beliau juga menafikan ketika ditanya mengenai ini pada pagi Jumaat lalu dan mengatakan tidak mengetahui langsung tentang surat keluar parti yang telah tersebar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, setakat ini tidak ada lagi mana-mana individu termasuk Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang akan meninggalkan parti.
“Kita tidak pasti tentang isu ini namun tiada ura-ura mengatakan Noh akan keluar parti kerana beliau kini mengerjakan umrah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










