KUALA LUMPUR 17 Dis. – Sayap pemuda PKR Cabang Permatang Pauh mahu Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak keputusan anak sulungnya, Nurul Izzah yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Permatang Pauh, Fahmi Zainol berkata, ini kerana kepimpinan Nurul Izzah selama ini dibuktikan selari dengan keperluan pemimpin-pemimpin kanan lain di peringkat pusat, negeri dan cabang.
Katanya, kepercayaan serta keyakinan diletakkan terhadap Nurul Izzah bagi memimpin PKR Pulau Pinang dan Pusat adalah jitu dan terserlah sejak mula menggalas tanggungjawab selaku Ahli Parlimen Permatang Pauh.
“AMK Permatang Pauh menyatakan pendirian ini secara tegas dan meminta agar Presiden menolak permintaan Nurul Izzah untuk meletak jawatan.
“Rata-rata anak muda hari ini menjadikan beliau selaku ikon anak muda yang bergerak agresif dalam mengharungi cabaran era Malaysia baharu serta badai politik yang melanda negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Fahmi pada masa sama berharap Nurul Izzah menerima semula pelantikannya selaku Pengerusi MPN PKR Pulau Pinang dan mengekalkan jawatan Naib Presiden parti. – UTUSAN ONLINE










