KUALA LUMPUR 17 Dis. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan satu mesyuarat khas berkaitan urusan pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen P.078, Cameron Highlands akan dijalankan Rabu ini di Bilik Gerakan, Menara SPR, Putrajaya.
Setiausahanya, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, mesyuarat tersebut dijadualkan bermula pada pukul 10.30 pagi.
Katanya, mesyuarat khas tersebut akan dikendalikan oleh Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun yang akan membincangkan pelbagai perkara termasuk mengenai tarikh-tarikh penting urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya itu.
“Satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat khas tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 30 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Sivarraajh bagi kerusi itu terbatal dan tidak sah kerana berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi.
Malah, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof mengesahkan kerusi Parlimen Cameron Highlands kini dikosongkan dan PRK bagi kawasan tersebut akan diadakan dalam masa terdekat.
Ia susulan makluman daripada SPR bahawa penyandangnya sebelum ini iaitu Sivarraajh gagal mengemukakan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan. -UTUSAN ONLINE










