LONDON – Ketua pasukan Formula Satu (F1) Mercedes, Toto Wolff masih meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pemandu keduanya, Valtteri Bottas meskipun pemandu dari Finland itu gagal menca-tat sebarang kemenangan podium pada perlumbaan musim 2018.
Meskipun mengakui pasukannya masih belum hilang kepercayaan terhadap Bottas, Wolff bagaimanapun mengesahkan bahawa pemandu berusia 29 tahun itu berpotensi kehilangan tempatnya kepada Esteban Ocon pada musim 2020.
Ketika rakan sepasukannya, Lewis Hamilton merangkul gelaran dunia kelimanya dengan 11 kemenangan serta catatan rekod 408 mata, Bottas pula ketinggalan 161 mata untuk berada di kedudukan kelima dalam kejuaraan pemandu dunia itu musim lalu.
Situasi itu mula menimbulkan persoalan terhadap masa depan Bottas di Mercedes terutamanya selepas Ocon, pemandu yang lahir daripada program pembangunan Mercedes telah mempamer aksi mengagumkan bersama Force India sejak dua musim lalu.
“Sudah tentu Esteban akan memainkan peranan penting bagi kami pada masa depan.
“Kami memiliki ruang untuk Esteban pada 2020, namun semuanya bergantung kepada prestasi Valtteri dan juga pasukan Mercedes pada musim depan.
“Kami masih belum hilang kepercayaan kepada Valtteri. Kami memberi sokongan penuh kepadanya kerana itulah asas keyakinan dalam pasukan ini.
“Kalau kami tidak yakin kepadanya, kami sudah tentu membuat perubahan tahun depan. Namun kami tidak me-lakukannya,” jelas Wolff.
Bottas memainkan peranan sebagai pemandu sokongan kepada Hamilton dalam misinya memburu kejuaraan musim 2018 dan dia berjaya melaksa-nakannya dengan baik terma-suk ketika memberi peluang kepada pemandu Britain itu memintasnya untuk menang pada GP Rusia. – Agensi










