Tidak sampai 10 hari lagi, kita akan memasuki 2019. Tahun baharu dan azam tidak dapat dipisahkan. Ada antara anda yang mempunyai azam untuk menyimpan wang pada setiap tahun?
Bagaimana azam itu pada 2018?Tahun 2018 pula mungkin menyaksikan satu tahun yang penuh dengan pengembaraan atau pembelian yang melibatkan transaksi yang tinggi bagi sesetengah orang.
Pembelian iPhone X misalnya begitu juga, perbelanjaan pakej percutian ke Eropah (yang menjadi satu kewajipan rakyat Malaysia jika mahu melancong). Itu semua melibatkan sejumlah wang yang besar. Setakat RM2,000 tidak cukup ya. Persoalannya, apakah platform terbaik untuk melabur? Apa bezanya dengan menabung? Mana satu lagi menguntungkan?
Bercakap pasal pelaburan, golongan muda mahupun warga emas cukup pantang apabila mendengar perkataan untung, lebih-lebih lagi pulangan yang pantas. Dalam keghairahan mengejar keuntungan, ada yang rugi ditipu pelaburan emas, tidak dilupakan penipuan skim pelaburan bitcoin yang cukup popular tahun ini. Kalau dahulu orang mahu tahu kaedah mana yang menguntungkan? Tetapi kini, mengambil kira pelbagai situasi, pengguna semakin bijak dan mahu mencari medium pelaburan yang selamat.
Dalam hal ini, apa yang penting, pelabur perlu tahu tentang tahap risiko yang diambil terhadap pelaburan kerana ia akan mempengaruhi keputusan peruntukan aset yang sesuai.
Amalkan konsep sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Orang ramai perlu banyak membaca dan menimba ilmu sebelum membuat keputusan melabur. Ini kerana setiap pelaburan mempunyai risiko tersendiri.
Jika anda berminat membuat pelaburan saham, Utusan Malaysia pada setiap Rabu menyiarkan satu kolum bertajuk Cikgu Saham. Siapa kata surat khabar hanya digunakan untuk membungkus nasi lemak? Kalau anda hanya menggunakan untuk tujuan itu dan tidak membaca, jangan salahkan sesiapa sekiranya anda terus membungkus nasi lemak sedangkan anda berpeluang meningkatkan gaya hidup menerusi satu kaedah pelaburan yang sah.
Ya, zaman berubah. Mungkin ada yang mengatakan kini adalah era pelaburan kripto. Terpulang kepada anda. Yang pasti, konsepnya sama iaitu ilmu. Sekiranya anda berhasrat menjadikan mata wang kripto sebagai pelaburan, anda harus menjalankan penelitian terperinci bagaimana mata wang itu dinilaikan, turun naik nilainya dan menguruskan risiko.
Berikut disenaraikan cadangan jenis pelaburan atau kaedah menabung yang boleh dicuba.
Dana unit amanah
Melabur menerusi Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah antara contoh dan unit amanah, Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah paling popular dalam kalangan orang ramai. Ia merupakan instrumen pelaburan yang mana pengurus dananya melabur dalam portfolio pelaburan terdiri daripada pasaran saham dan tunai. Keupayaan sesuatu dana itu untuk memberi pulangan bergantung kepada prestasi ekonomi di dalam dan luar negara selain situasi politik semasa.
Tahukah anda pelaburan ASNB kini semakin mudah? Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Maybank memperkenalkan perkhidmatan membuat pelaburan dalam unit ASNB melalui Maybank2u dan juga menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kedua-duanya dalam masa nyata. Tidak perlu ke kaunter lagi dan menunggu giliran untuk memasukkan wang RM100.
Saham
Cikgu Saham, Zuraida Mohd. Zakaria menerusi satu artikel pada Oktober lalu menegaskan tempoh minimum setahun diperlukan untuk belajar niaga saham. Pelabur atau pedagang baharu dapat banyak pengalaman dari segi melihat turun naik pasaran, mengikuti perkembangan semasa dunia saham dan ekonomi, melihat faktor-faktor persekitaran yang mempengaruhi turun naik harga saham, melihat sentimen pasaran dan membiasakan diri membuat beli dan jual saham.
Tabung Haji
Meskipun dilanda kontroversi baru-baru ini, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat memberi jaminan kepada semua pendeposit bahawa simpanan mereka selamat.
Pada masa ini, Tabung Haji membuat pelaburan ke dalam empat kelas aset utama iaitu ekuiti, pendapatan tetap, hartanah dan pasaran wang. Tabung Haji sentiasa meneroka bidang-bidang patuh syariah pelaburan yang mampu menjana perolehan tinggi, mapan dan halal. Yang menariknya, pendeposit Tabung Haji tidak perlu lagi untuk membayar zakat simpanan kerana ia sudah ditunaikan oleh Tabung Haji sendiri.
Tabung Warna
Sering ternampak di media sosial terutama hujung tahun, terdapat pengguna Facebook berkongsikan hasil simpanan wang RM5 (hijau) atau RM20 (kuning) yang disimpan sejak awal tahun. Bagi mereka yang rajin menyimpan, ada antaranya berjaya mengumpul sehingga RM3,000.
Tidak kira pelaburan dalam perniagaan, emas, perak, lebih-lebih lagi unit amanah saham, harus berusaha memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji bagi tujuan simpanan.
New year, new look. Satu ungkapan promosi yang sering digunakan oleh jenama pakaian mahupun pusat gimnasium bagi memancing lebih ramai pelanggan terutama wanita. Sebelum anda membelanjakan wang untuk sesuatu barangan. Tanya dulu kepada diri anda, adakah ini satu keperluan atau kehendak semata-mata?
Melainkan anda sudah mengasingkan sejumlah wang untuk melabur atau disimpankan, membeli sehelai dua pakaian untuk menggembirakan hati tidak salah rasanya. Mana tahu ia boleh menaikkan mood anda menjadi insan yang positif, produktif dan efisien pada 2019.










