LONDON 20 Dis. – Conor McGregor mungkin sering memaparkan kehidupannya yang mewah dengan kereta dan pakaian berjenama mahal, tetapi dia sebenarnya hidup secara sederhana, kata jurulatih petinju itu, John Kavanagh.
Atlet berasal dari Ireland tersebut, menikmati populariti disebabkan mulutnya yang celupar dan sering menunjuk-nunjuk tentang gaya hidupnya yang gemar menggunakan jet peribadi seiring dengan pencapaian hebatnya di pentas oktagon. Namun, segala kemewahan yang diterimanya itu diperoleh secara percuma.
“Memang kedengaran pelik, tetapi dia sebenarnya tidak banyak berbelanja, semua yang dipakainya adalah berbentuk penajaan yang mana dia dibayar untuk mengenakan pakaian berjenama tersebut, malah, kenderaan yang dipandunya juga diberikan kepadanya.
“Dia tidak gemar makan di restoran, isterinya yang menyediakan semua keperluan itu. Dia boleh dikatakan menjalani kehidupan sederhana di kediamannya. Dia tidak pernah berjudi,” kata Kavanagh kepada media Ireland, Independent.ie.
Mungkin pendedahan itu mengejutkan segelintir pihak, memandangkan dia meletakkan dirinya sama tinggi dengan Floyd Mayweather yang hidup dalam kemewahan. Namun, di sebalik lensa kamera, McGregor adalah lelaki berbeza dengan keluarga menjadi keutamaannya.
Di depan umum, dia sering bercakap gah tentang bayaran yang diterimanya, yang tersenarai antara lima tertinggi dalam sejarah Ultimate Fighting Championship (UFC). Pertembungannya dengan Mayweather membolehkan McGregor meraih pendapatan sebanyak 80 juta pound (RM422 juta).
Bagaimanapun, Kavanagh mendedahkan, McGregor amat berhati-hati dalam soal pengurusan kewangan dan dia begitu berkira apabila hendak berbelanja. Forbes pernah menyenaraikannya sebagai atlet yang menerima bayaran keempat tertinggi pada tahun ini di belakang Mayweather, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo. – AGENSI









